Khabar angin keretakan rumah tangga artis terkenal, Nora Danish akhirnya terjawab selepas dia bersama suaminya iaitu Nedim Nazri sah bercerai talak satu pada hari malam semalam.
Selepas mendirikan rumah tangga lebih selama lebih tujuh tahun, pasangan itu bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.
Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam tadi.
Menurut laporan Harian Metro lagi, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, sangat mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
“Saya dan bekas suami sudah mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang didirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini, malam ini.
“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif.
“Jadi, saya harapkan anda mendoakan yang terbaik buat kami dan keluarga.
“Saya harap tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya.
Bagaimanapun, Nedim pula enggan mengulas lanjut apabila dilontarkan soalan oleh pemberita.
Terdahulu, Nora memuat naik perkongsian momen indah bersama keluarga dalam Instagram Story (IGs) dipercayai meraikan sambutan Hari Bapa pada 16 Jun lalu.