Piala Dunia Futsal 2024 bakal bermula pada 14 September ini yang menyaksikan Uzbekistan menjadi tuan rumah saingan futsal paling berprestij tersebut.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Thailand menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia Tenggara (ASEAN) yang mara selepas menamatkan Piala Asia 2024 tempoh hari selaku naib juara.
Baca Juga:
- Piala Dunia Futsal 2024: Thailand Bakal Hadapi Brazil, Croatia & Cuba
- 4 Pemain Thailand Ini Bakal Buat Penampilan Keempat Dalam Piala Dunia Futsal
- Piala Asia Futsal 2024: Mara Ke Separuh Akhir, Thailand Tempah Slot Ke Piala Dunia
Selain Thailand dan Uzbekistan selaku tuan rumah, cabaran Asia akan turut disandarkan kepada gergasi dunia iaitu Iran, Afghanistan dan Tajiskistan.
Perkembangan terbaharu itu pastinya mewujudkan persoalan dalam kalangan peminat futsal tanah air bila pula giliran skuad futsal kebangsaan akan merasai nikmat yang sama seperti negara-negara tersebut terutamanya Thailand.
Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa skuad futsal Malaysia pernah beraksi di pentas Piala Dunia Futsal 1996, Sepanyol.
Lebih menarik untuk diperkatakan, pasukan yang ketika itu dibimbing oleh jurulatih legenda, Vic Hermans sambil dibantu oleh Irfan Bakti Abu Salim dibarisi pemain bola sepak.
Langsung tidak mempunyai asas dalam sukan futsal, pemain negara terpaksa bersaing hebat dengan pemain-pemain futsal profesional.
Pada kejohanan tersebut, Malaysia telah diundi bersama-sama Amerika Syarikat, Itali dan Uruguay dimana Amerika Syarikat turun ke Sepanyol selaku naib juara edisi 1992.
Skuad futsal negara pada ketika itu dibarisi oleh Khairul Azman Mohamed dan Mudzar Mohamed selaku penjaga gol bersama-sama Zainal Abidin Hassan, Anuar Jusoh, Md Raizuwah Idris, Lim Seng Kong, Nazri Yunos, Zami Mohd Noor, Dollah Salleh, Rusdee Sulong Azman Adnan serta Azrul Amri Burhan.
Bagaimana Malaysia boleh ke Piala Dunia Futsal 1996
Kemaraan yang tak disangka itu hadir selepas Malaysia berjaya melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia 1996 zon Asia Tenggara di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Beraksi di laman sendiri jelas memberikan kelebihan buat Skuad negara yang cemerlang membelasah Filipina 13-3 dan kemudiannya terikat 3-3 bertemu Brunei.
Empat mata yang diraih itu sudah cukup untuk membawa Malaysia beraksi di Segovia, Sepanyol bagi mengiringi dua lagi wakil Asia iaitu Iran dan China.
Bagaimana keputusan di Segovia?
Dengan hanya sebulan persiapan dan terdiri daripada pemain bola sepak, memang tidak hairanlah Malaysia gagal untuk meraih sebarang mata pada saingan tersebut.
Malaysia tewas pada ketiga-tiga perlawanan setelah tunduk 1-10 kepada Itali, 1-4 menentang Uruguay dan tumbang 2-10 pada aksi terakhir bertemu Amerika Syarikat.
Walaupun serba kekurangan dari segi persiapan dan kemampuan pemain, Azman Adnan masih mampu menjaringkan dua gol manakala Lim Seng Kong dan Rosdee Sulong masing-masing dengan satu gol.
Menurut perkongsian daripada Khairul Azman kepada wakil The Vocket, sebaik sahaja pulang dari Segovia, para pemain terpaksa mengambil masa seminggu untuk mengubah kembali rentak permainan kepada bola sepak.
Hal ini kerana mereka perlu fokus untuk bersama pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia 1996.
“Memang sesuatu yang cukup janggal dirasai kerana dah berbelas tahun kami main bola sepak, tiba-tiba kerana bermain futsal yang memang agak asing buat kami.”
“Sejujurnya kami hanya membawa dan bersandarkan pengalaman sebagai pemain bola sepak untuk beraksi di Sepanyol.”
“Kami hanya menjalani latihan pusat selama sebulan sahaja,” ujar Khairul Azman berkongsikan pengalamannya.
Itulah pengalaman cukup luar biasa dan unik buat para pemain bola sepak pada ketika itu yang mana mereka terpaksa beraksi dalam sukan futsal di peringkat paling tinggi.
Ia juga merupakan kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia Futsal.