Ogos dan September boleh dikatakan bulan yang paling cemerlang buat badminton negara apabila empat kejuaraan berjaya dimenangi oleh wakil Malaysia.
Bukan mahu menidakkan keupayaan barisan pemain yang pernah menjuarai kejohanan pada tahun ini seperti Lee Zii Jia, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Choong Hon Jian-Muhammad Haikal, tetapi kejayaan kali ini amat mencuri tumpuan kerana hadir secara berturut-turut.

Baca Juga:
- Sze Fei-Nur Izzudin Lakar Sejarah, Muncul Juara Terbuka China 2024
- Terbuka China 2024: Soon Huat-Shevon Raih Naib Juara, Akur Kehebatan Yan Zhe-Dong Ping
- Video: Aksi Padu Lee Zii Jia Pukau Peminat Badminton Dunia
Daripada lima kejohanan disertai sejak 20 Ogos lalu, Malaysia hanya pulang dengan tangan kosong pada Terbuka Chinese Taipei (Super 300).
Lebih manis untuk diperkatakan empat kejuaraan itu dimenangi dalam kancah berstatus Super 500 ke atas iaitu ketika Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka Korea (Super 500), Terbuka Hong Kong (Super 500) dan kemuncaknya Terbuka China (Super 1000).
Kali terakhir pemain Malaysia menjuarai kejohanan berstatus Super 1000 ialah Lee Zii Jia ketika beliau muncul pemenang All England 2021.
Manakala, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik paling banyak membuat penampilan di pentas final kejohanan Super 1000 tetapi mereka kalah pada keempat-empat perlawanan tersebut.
Berbalik kepada kejayaan wakil negara pada dua bulan ini, sektor beregu tanpa mengira beregu lelaki, wanita dan juga campuran telah menghadirkan keputusan memberangsangkan.
Ia jelas dibuktikan apabila dua kejuaraan dihadiahkan oleh Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (Terbuka Jepun dan China) manakala Pearly Tan-M. Thinaah (Terbuka Hong Kong) dan Chan Tang Jie-Toh Ee Wei (Terbuka Korea) masing-masing menghadiahkan satu kejuaraan buat Malaysia.
Malah, Pearly-Thinaah turut mara ke perlawanan akhir Terbuka Korea tetapi tewas kepada wakil tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong manakala Tang Jie-Ee Wei tewas di separuh akhir Terbuka Hong Kong.
Aksi di China juga menyaksikan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie beraksi dengan cukup baik sebelum terpaksa akur dengan kehebatan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi berlarutan hingga set ketiga.
Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula tewas di separuh akhir kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Saingan berprestij yang akan dihadapi para pemain selepas ini ialah Terbuka Denamrk dengan status Super 750 bermula 15 Oktober nanti.
Diharapkan momentum cemerlang ditampilkan pemain Malaysia akan turut meningkatkan moral barisan pemain perseorangan untuk turut melakar kejayaan manis buat skuad badminton negara.