Kesemua operasi berita rangkaian televisyen Media Prima Berhad (Media Prima) bakal bersiaran sepenuhnya di Balai Berita, di sini, bermula 21 Oktober ini.
Penasihat Eksekutif, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Jasbant Singh, menyifatkan siaran berita saluran TV3, TV8, TV9 dan TV Didik dari Balai Berita sebagai detik bersejarah bagi rangkaian televisyen Media Prima, khususnya selepas lebih tiga dekad beroperasi di Sri Pentas.
Baca Juga:
- Media Prima Mengaktifkan Semula Tabung Kemanusiaan Palestin
- Media Prima Catat Keuntungan Selepas Cukai Sebanyak RM27 Juta
- Media Prima Catat Keuntungan Bersih Sebanyak RM15.82 Juta Pada Suku Tahunan Kedua 2022
Katanya, operasi di Balai Berita dilihat sebagai anjakan lebih dinamik dan relevan bagi Media Prima sebagai syarikat media yang inklusif di Malaysia.
“Kita akan sebumbung dengan semua platform media The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang juga antara jenama media di bawah Media Prima iaitu Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.
“Dengan perpindahan yang membabitkan studio dan sistem peralatan baharu, kami yakin dapat terus memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang inginkan berita terkini dengan hiburan sensasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis bacaan surah Yasin di studio baharu rangkaian televisyen Media Prima di Balai Berita.
Bacaan Yasin itu dipimpin Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM merangkap Pengerusi Surau Jumaat Al Syakirin, Keramat Wangsa, Rosidi Mansoor.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim dan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape.