Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India telah dihentikan serta-merta bermula hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menurut laporan Berita Harian.

Baca Juga:

Keputusan itu dibuat selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Keputusan yang diambil ialah untuk mendapat pandangan daripada sudut pakar, sebelum kita mengambil apa-apa keputusan.

“Oleh kerana itu, setelah kita mengumpulkan semua bentuk kepakaran yang ada termasuklah dari pihak PDRM, bomba, DBKL, Indah Water Konsotium (IWK), Jabatan Geologi, Agensi Nuklear Negara dan pelbagai lagi telah diambil pandangan.

“Kita telah membuat keputusan untuk kita memberhenti mencari dan menyelamat pada hari ini,” katanya.

Selain itu, keselamatan juga merupakan faktor utama yang mendorong kepada keputusan menghentikan operasi SAR tersebut.

“Keselamatan ini ada beberapa perkara. Pertama, keselamatan anggota SAR yang turun ke bawah mencari mangsa… arus deras dan sebagainya membahayakan anggota kita.

“Kedua, keselamatan kawasan sekitar kerana seperti kita tahu, kita lihat kesan seperti mendapan kedua. Ini juga beri kebimbangan.

“Ketiga, kita perlu segera benarkan untuk aktiviti harian diteruskan di sini, tetapi dalam masa yang sama kita tak ketepi hal keselamatan pengunjung,” katanya dalam sidang media.

Minggu lalu, Malaysia dikejutkan dengan kejadian seorang wanita yang disyaki tertimbus bawah tanah mendap dengan kedalaman lebih kurang 10 meter berdekatan Masjid India.

Satu video rakaman CCTV tular di media sosial menunjukkan detik cemas wanita tersebut terjatuh ke dalam tanah jerlus ketika sedang berjalan kaki di kawasan terbabit.

Difahamkan, mangsa dan keluarganya sedang bercuti di ibu negara dan sepatutnya berangkat pulang ke negara asalnya dalam masa terdekat.