Malaysia berdepan gelombang baharu pandemik Covid-19 berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata pakar.
“Keadaan masih terurus” tetapi “bersedia untuk terburuk”, profesor madya virologi Universiti Putra Malaysia Chee Hui Yee memberitahu akhbar Singapura The Straits Times.
“Dapatkan ujian jika ada simptom dan asingkan diri jika positif, pakai pelitup muka jika ada simptom, dan elakkan bercampur dengan orang lain dan elakkan pergi ke tempat yang sesak,” katanya dipetik.
Beberapa pakar telah menasihatkan orang ramai untuk membuat ujian sendiri sebelum kembali ke sekolah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, yang mungkin menjadi sebahagian daripada sebab kenapa berlakunya kekurangan kit ujian, katanya.
Isnin lalu, agensi berita Bernama melaporkan bahawa Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata bahawa 12 kes subvarian Covid-19 XBB.1.16, juga dikenali sebagai varian Arcturus, telah dilaporkan di Malaysia.
Semua pesakit mengalami simptom ringan dan berada dalam keadaan stabil, katanya.
Seminggu sebelum itu, data KKM menunjukkan peningkatan jangkitan Covid-19 menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah kes meningkat sebanyak 87.5 peratus dalam tempoh 14 hari terakhir sehingga 8 April, manakala jumlah kemasukan ke hospital mencatatkan peningkatan sebanyak 30.5 peratus.
Jumlah kematian dalam tempoh yang sama meningkat sebanyak 25 peratus.