Wakil pengendali kelahiran Korea, Park Hang-seo menafikan yang jurulatih itu memohon untuk mengisi jawatan bagi menjadi ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Menurut laporan VNE Express, salah seorang wakil kepada Hang-seo iaitu Lee Dong-jun menafikan dakwaan yang jurulatih itu menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Kim Pan-gon.

Baca Juga:

“Tidak benar sama sekali dakwaan bahawa jurulatih Park memohon jawatan untuk mengetuai pasukan kebangsaan Malaysia.

“Kenyataan sedemikian menjejaskan reputasi jurulatih Park. Sebagai wakil kepada ramai jurulatih dan pemain, saya telah mengadakan perbualan dengan presiden persatuan bola sepak di seluruh dunia, termasuk Datuk Hamidin Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia.

“Bagaimanapun, perbincangan kami merangkumi pelbagai topik , dan kami tidak pernah berbincang untuk memohon jawatan ketua jurulatih di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan Park Hang-seo antara calon Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

“Ya, beliau (Hang-seo) adalah salah satu calon kita,” kata Hamidin kepada pihak media.

Pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dianggap sebagai perancangan jangka masa pendek oleh FAM.

Prestasi beliau akan dinilai oleh FAM melalui dua kejohanan terdekat iaitu Pestabola Merdeka 2024, September depan serta kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 hujung tahun ini.

“Kita beri peluang kepada Pau Marti sehingga Disember ini tetapi dalam masa sama saya sudah menilai beberapa calon baharu.

“Saya akan cari jurulatih yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya kepada peminat.

“Saya pun kenang jasa dia (Kim Pan Gon), FAM pun berlembut hati juga. Kalau ikutkan dari segi profesional dia, kita boleh minta pampasan untuk satu setengah tahun,” katanya.