Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan pemain import baharu dari Korea Selatan, Park Jun-heong bagi memperkuatkan benteng pertahanan.

Khidmat Park Jun-heong diperlukan JDT bagi menghadapi pusingan kedua saingan Liga Malaysia musim ini dan juga aksi Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE).

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Pemain yang berusia 31 tahun itu menyifatkan impiannya menyertai JDT menjadi kenyataan dan sedia memberikan aksi terbaiknya.

“Ini saat impian saya menjadi kenyataan. Satu penghormatan dapat bekerja dengan bos kami, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Terima kasih banyak-banyak. Saya akan berikan yang terbaik kepada peminat,” katanya menerusi laman instagram.

Jun-heong memiliki pengalaman beraksi di eropah dalam saingan Liga Portugal sebelum kembali ke Korea Selatan menyertai Suwon Samsung Bluewings serta Kitchee di Hong Kong.

Musim lepas, beraksi dengan Ratchaburi FC dalam Liga Thailand sejak 2022. Antara pencapaian terbaiknya ialah membantu Kitchee FC menjuarai Liga Hong Kong pada musim 2019-2020.

Ketika ini, JDT mempunyai dua pemain import di bahagian pertahanan tengah iaitu Jordi Amat dan Shane Lowry sambil diperkuatkan beberapa pemain tempatan lain seperti Feroz Baharudin, Junior Eldstal dan juga Shahrul Saad.

Difahamkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menghapuskan kuota bagi pemain luar untuk saingan di peringkat kelab (ACLE, ACL2, ACGL) bermula musim 2024/2025.

Ini membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu membawa masuk lebih ramai pemain import untuk digunakan dalam saingan peringkat Asia meskipun tidak dibenarkan di peringkat liga domestik.