Keputusan seri dicatatkan Selangor pada perlawanan menentang PDRM FC malam tadi bukan sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong, malah ada pegawai pasukan kelab tersebut juga dikatakan ‘naik angin’.

Hal ini kerana salah seorang pegawai Selangor FC dilaporkan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengamal media yang turun ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi membuat liputan perlawanan ke-12 saingan Liga Super Malaysia 2024/25 itu.

Baca Juga:

Perkara tersebut disahkan oleh portal media sukan tempatan, Flash Sukan yang mengeluarkan kenyataan rasminya malam tadi.

Difahamkan insiden itu berlaku selepas berakhirnya perlawanan yang berkesudahan terikat 1-1 hasil jaringan pemain sayap Selangor, Alvin Fortes pada minit ke-16 manakala Aremu Timothy memadamkan kelebihan itu ketika aksi memasuki minit ke-92.

“Pihak kami kecewa dengan tindakan yang dilakukan salah seorang pegawai pasukan Selangor FC yang menghujat pengamal media dengan kata-kata kesat di hadapan orang ramai selepas berakhir perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Perbandaran Selayang pada Sabtu.”

“Tindakan itu jelas tidak profesional dalam keadaan dia lengkap berpakaian rasmi kelab dan pihak media juga lengkap dengan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang membawa maksud kedua-dua pihak sedang menjalankan tugas.”

“Tambah memalukan, tindakan itu berlaku di tempat lawan yang mana pihak tuan rumah telah memberikan layanan terbaik buat pihak media yang sentiasa berada di lapangan untuk memberikan laporan yang tepat dan sahih.”

“Pihak kami akan meminta maklum balas daripada kelab berkaitan hal ini dan berharap perkara seperti ini tidak berulang kerana pegawai ini membawa imej buruk buat kelab yang diterajui Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.”

Tambah Flash Sukan lagi, pegawai tersebut sebelum ini merupakan salah seorang daripada pegawai Selangor FC yang pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 ekoran kesalahan melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

Sumber