Lebih 600 pekerja Google telah mengeluarkan bantahan keras terhadap keputusan syarikat menaja acara teknologi Israel – Mind the Tech yang diadakan di New York, Amerika Syarikat.

Acara tahunan yang ditaja Google itu dilihat kontroversi kerana mempunyai hubungan dengan industri teknologi Israel, yang telah menjadi subjek perdebatan mengenai konflik di rantau ini.

Baca Juga:

Menurut Reuters, pekerja yang menyertai protes menggesa Google menarik diri daripada menaja acara itu, serta menuntut permohonan maaf atas penglibatan syarikat dalam acara kontroversi ini.

Mereka menegaskan, keputusan menarik diri daripada acara itu bukan sahaja berkaitan isu penajaan, tetapi juga sebagai bentuk solidariti dengan jumlah korban yang besar di Gaza akibat serangan Israel ke atas Palestin.

Salah seorang pekerja Google yang terlibat dalam protes itu, seorang jurutera perisian YouTube bernama Zelda Montes, menekankan kepentingan perpaduan dalam isu berkaitan teknologi AI yang digunakan dalam pengawasan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan pemimpin syarikat yang dianggapnya tidak menepati janji.

Seorang jurutera Google Cloud menyatakan bahawa kerjanya tidak boleh digunakan untuk tujuan pengawasan dan pembunuhan beramai-ramai.

Ini menunjukkan bantahan terhadap keputusan syarikat bukan sahaja berlaku dalam bentuk surat bantahan, tetapi juga dalam tindakan sebenar pekerja syarikat.

Keberanian kakitangan Google dalam mengambil sikap ini menunjukkan bahawa semakin ramai individu prihatin dan bertanggungjawab terhadap kesan keputusan syarikat terhadap isu global yang sensitif seperti konflik di Timur Tengah.

Ia juga menghantar mesej kuat kepada syarikat teknologi lain bahawa pekerja mempunyai kuasa dan suara untuk menentang tindakan yang dianggap tidak konsisten dengan nilai manusia dan etika.

Sumber