Seorang pelajar antarabangsa dari China kini berdepan risiko dibuang dari Universiti Malaya (UM) selepas didakwa memakai seluar pendek ketika berada di perpustakaan universiti tersebut.

Kejadian ini mula tular selepas dikongsikan oleh Persatuan Mahasiswa Baru Universiti Malaya (UMANY) dalam satu hantaran Instagram yang mengkritik sikap agresif kakitangan keselamatan dan peraturan pakaian yang dianggap terlalu ketat.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh UMANY, pelajar China tersebut ditegur secara kurang ajar oleh pihak keselamatan Universiti Malaya apabila dia keluar dari perpustakaan dengan memakai seluar pendek.

Malah, tindakan itu menjadi keterlaluan apabila pelajar itu dirakam dan kad pengenalan beliau diambil oleh pihak keselamatan.

Walaupun pelajar dari China itu berusaha untuk menutup kakinya dengan menggunakan baju, beliau tetap dilayan dengan cara yang tidak profesional dan kasar.

Keadaan semakin buruk apabila pelajar tersebut diberitahu bahawa pihak universiti akan melaporkan kejadian ini kepada fakulti beliau, dengan kemungkinan besar beliau akan dibuang dari universiti.

UMANY mengakui bahawa pelajar itu mungkin telah melanggar peraturan pakaian universiti, namun mereka berpendapat bahawa fokus sepatutnya tidak terletak pada apa yang dipakai pelajar itu, tetapi lebih kepada sikap agresif dan kurang profesional pihak keselamatan.

Persatuan itu juga mengkritik peraturan pakaian UM yang memberikan kuasa terlalu besar kepada kakitangan dalam menentukan apa yang sesuai dan tidak sesuai untuk dipakai oleh pelajar.

Dalam hantaran Instagram tersebut, UMANY turut menekankan bahawa peraturan pakaian yang terlalu ketat ini boleh merosakkan nilai-nilai pelbagai budaya yang selama ini diterima di UM.

Mereka berpendapat bahawa jika universiti ingin menghasilkan seorang pelajar dengan pemikiran kritis, ia perlu menggalakkan kebebasan, keterbukaan, dan kepelbagaian di dalam kampus, bukan mengawal setiap aspek penampilan pelajarnya.

Menurut UMANY, selama mana tidak ada gangguan terhadap ketenteraman awam atau hak orang lain, setiap individu seharusnya bebas untuk mengekspresikan diri mereka tanpa sekatan yang membebankan.

The Vocket cuba untuk mendapatkan maklum balas mengenai kes ini daripada pihak pengurusan Universiti Malaya.