Jumlah kedatangan pelancong antarabangsa ke Indonesia pada November 2024 mengalami penurunan sebanyak 8.53% berbanding bulan sebelumnya, dengan hanya 1,092,067 kunjungan direkodkan.

Penurunan ini dikaitkan dengan faktor musim rendah (low season), menurut kenyataan Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia.

Namun begitu, jika dibandingkan dengan November 2023, angka kunjungan menunjukkan peningkatan sebanyak 17.27%.

Deputi Bidang Statistik Distribusi dan Jasa BPS, Pudji Ismartini, menyatakan, “Penurunan kunjungan wisman secara bulanan ini adalah sesuatu yang normal kerana faktor musiman, namun secara tahunan, trennya tetap meningkat.”

Menurut laporan CNBC, daripada jumlah keseluruhan kunjungan pada November 2024:

    1. 940,570 kunjungan dicatat melalui pintu masuk utama seperti lapangan terbang antarabangsa,
    2. Sementara 151,497 kunjungan adalah melalui pintu masuk sempadan.
    3. Dalam kategori negara, pelancong dari Malaysia terus mendominasi senarai, diikuti oleh Australia dan Singapura.

Walaupun kunjungan pelancong dari Malaysia mengalami penurunan sebanyak 10.22% secara bulanan, jumlahnya meningkat dengan ketara sebanyak 22.94% jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Pelancong dari Malaysia kebanyakannya tiba melalui Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, manakala pelancong dari Australia lebih gemar memasuki Indonesia melalui Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali.

Selain itu, pelancong antarabangsa ke Indonesia dari Tiongkok turut dominan menggunakan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebagai pintu masuk utama.

Secara keseluruhan, dari Januari hingga November 2024, Indonesia mencatat 12,658,048 kunjungan pelancong antarabangsa, meningkat sebanyak 20.17% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

Angka ini merupakan pencapaian tertinggi dalam lima tahun terakhir, menunjukkan pemulihan kukuh sektor pelancongan Indonesia pasca-pandemik.