Baru-baru ini, tular di media sosial tentang sekumpulan pelancong Malaysia yang ditolak masuk ke Korea Selatan walaupun telah melengkapkan semua dokumen termasuk K-ETA (Korea Electronic Travel Authorization).

Menurut kes yang dikongsikan, pelancong Malaysia dilarang menaiki penerbangan di KLIA walaupun permohonan K-ETA telah diluluskan.

Sebaik tiba di imigresen Korea pula, dua lagi rakan mereka sangkut kerana isu yang sama.

Pegawai imigresen didakwa hanya membenarkan kemasukan dengan “orang Korea sahaja”, membuatkan pelancong dari Asia Tenggara terpaksa pulang.

Yang lebih mengecewakan, ada kes di mana tiket penerbangan pulang perlu dibeli semula dengan harga tinggi kerana tiada notis awal diberikan.

“Yang paling jahat, dia tak awalkan tiket flight tapi kena beli baru dengan harga yang sangat mahal,” jelas pengadu.

Sementara itu, lebih mengejutkan, seramai 25 orang telah dihantar pulang dalam kejadian yang sama.

Rata-rata rakyat Malaysia kini mula mempersoalkan prosedur ketat imigresen Korea terhadap pelancong dari Asia Tenggara.

Menurut laporan dari perkongsian di laman sosial, antara punca utama penolakan ialah kerana pelancong Malaysia masuk secara DIY (tanpa ejen pelancongan) atau tidak disertai oleh tour guide tempatan.

Difahamkan, imigresen Korea cenderung memberi laluan kepada pelancong yang datang melalui ejen pelancongan rasmi, lebih-lebih lagi jika membawa ahli rombongan seperti kanak-kanak atau bayi.

Insiden ini menimbulkan perdebatan hangat di kalangan netizen.

Ramai mendakwa wujudnya unsur diskriminasi terhadap pelancong dari Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Beberapa komen menyuarakan bahawa rakyat Malaysia dilayan seperti pelarian oleh pegawai imigresen Korea.

“Orang Malaysia je jakun datang Korea ni. Sebenarnya mereka tengok kita macam sampah je,” tulis seorang pengguna media sosial.

Ada juga yang menyarankan pelancong untuk mempertimbangkan Jepun sebagai alternatif kerana prosedurnya lebih mesra pelancong.