Kadang-kala, kita tidak kisah untuk makan di sesebuah kedai makan yang lenggang kerana berniat mahu membantu mereka sahaja. Bagaimanapun, sebahagian kedai itu mungkin lengang kerana ada “sebab” di sebaliknya.
Baru-baru ini, seorang pengguna X telah berkongsi satu ciapan mengenai bagaimana niat baiknya mahu membantu sebuah kedai makan yang lengang hanya memakan diri.
Menurut individu berkenaan, dia telah menjamu selera di sebuah restoran dek kerana kasihan dan mahu memberikan sokongan memandangkan kelihatan suasana sepi dengan kehadiran pelanggan yang sedikit.
Namun pilihan tersebut telah memakan diri sendiri sekaligus membuatkan individu itu serik untuk mudah merasa simpati terhadap sesebuah kedai makan lagi.
“Nota untuk diri sendiri. Jangan cepat kesian dekat kedai yang tak ramai orang datang. Ada sebab kedai dia tak ramai. Steady lauk berapa hari punya dia panaskan ni?” tulis individu tersebut di laman X.
Dalam pada itu, dia turut memuat naik sekeping gambar yang memperlihatkan hidangan yang dimakan di kedai makan tersebut, iaitu sambal ikan dan sayur bayam.
Walaupun tidak basi dan kelihatan normal pada luarannya, individu terbabit mendakwa lauk-pauk itu telah dipanaskan beberapa kali selepas sudah merasainya.
Individu itu bagaimanapun tidak menyatakan nama dan lokasi kedai makan yang dimaksudkan di dalam perkongsiannya.
Menelusuri ke ruangan komen, netizen turut bersimpati dengan nasib individu itu dan berkongsi pengalaman serupa yang dialami. Menariknya, ramai juga berkongsi tips untuk memilih hidangan di sesebuah kedai makan yang tidak pernah dikunjungi.
“Selalunya ikan/ayam goreng tak habis hari ini, esoknya diolah jadi menu lain seperti di gambar. Jika nak juga, ambil ikan goreng sebab bole nampk fresh ke tak, lepas tu baru ambil sambal dari tempat ikan sambal tu,” kongsi seorang netizen.
“Betul tu. Belajarlah dari pengalaman. Kedai ramai orang, lauk cepat habis. Masak pun sedap barangkali dan murah sbb tu ramai. Kurang kemungkinan mereka simpan dan perangat balik lauk dan jual,” tulis seorang netizen lain.
“Kena dah tadi, nasi dengan ayam goreng 8 ringgit. kedai ramai orang yang selalu aku pergi baru 5 ringgit,” ujar seorang netizen bahawa harga juga boleh berubah bagi kedai yang tidak ramai pengunjung berbanding yang popular.
Dalam pada itu, mereka juga mengatakan sudah mempelajari perkara itu berdasarkan pengalaman dan akan lebih berhati-hati di masa kelak dalam membuat sesuatu kebaikan.