Ernest Zacharevic, pelukis mural terkenal dari Lithuania yang terkenal dengan seni muralnya di George Town, Penang menyatakan rasa terkejut selepas mendapati lukisan ikoniknya, “Children On Bicycle”, digunakan pada badan pesawat AirAsia tanpa kebenarannya, lapor NST.
Zacharevic, yang kini menetap di Malaysia, memuat naik hantaran Instagram Story semalam dengan kenyataan pendek tetapi jelas: “I think we need to talk…”.
Dalam hantaran itu, beliau turut tag akaun rasmi AirAsia dan pengasas syarikat penerbangan tersebut, Tan Sri Tony Fernandes, sambil menyertakan foto pesawat AirAsia yang dihiasi dengan mural tersebut.
Mural yang menjadi simbol ikonik Pulau Pinang itu ditemui menghiasi bahagian hadapan pesawat AirAsia yang kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 November 2024.
Zacharevic memberitahu Straits Times bahawa AirAsia tidak pernah mendapatkan persetujuannya untuk menggunakan karya seni tersebut.
Malah, ini bukan kali pertama beliau menghadapi situasi seperti ini.
“Saya pertama kali nampak perkara ini melalui Instagram Story seorang kawan, kemudian saya sendiri melihatnya di lapangan terbang pada Jumaat,” kata Zacharevic seperti yang dilaporkan.
Namun begitu, pelukis berusia 38 tahun itu menyatakan bahawa beliau tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang buat masa ini.
Sebaliknya, beliau ingin menyelesaikan isu ini secara baik dengan pihak AirAsia.
Mural “Children On Bicycle” yang terletak di Armenian Street, George Town, mula menarik perhatian sejak ia dilukis pada tahun 2012.
Ia kini menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Pulau Pinang, dengan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan lukisan ini.
Pada tahun lalu, Zacharevic juga telah memulihkan mural tersebut.
Namun, penggunaan mural ini pada badan pesawat tanpa kebenaran menimbulkan persoalan tentang penghormatan terhadap hak intelektual artis tempatan dan antarabangsa.
Sehingga kini, AirAsia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.