Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Belanjawan 2025 dengan memperkenalkan pelbagai insentif bagi meringankan beban, serta mengukuhkan ekonomi negara.

Bagaimanapun pengumuman itu didakwa memberikan kesan terhadap pemain industri sehingga menyebabkan harga barang dijangka naik pada tahun hadapan, petik Sinar Harian.

Baca Juga:

Perkara itu dikongsikan oleh Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Antara sebabnya, peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.

Menurutnya, peniaga juga dijangka mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang susulan peningkatan gaji penjawat awam serta penyasaran subsidi petrol RON95.

“Lazimnya peniaga memang sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan harga dan wujud peluang itu kerana mulai 1 Disember ini gaji penjawat awam meningkat sebelum kenaikan gaji minimum berkuat kuasa 1 Februari 2025.

“Peniaga melihat pengguna mempunyai kuasa beli yang lebih dan mereka menaikkan harga dengan alasan terpaksa membayar gaji lebih, kos overhead selain peningkatan kos belian barang premium yang diimport serta barang-barang tersenarai bawah peluasan SST,” katanya.

Memetik laporan itu lagi, Dr Barjoyai idak menolak kemungkinan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berkenaan berlaku dalam peratusan yang agak tinggi kerana mengambil kira kesan pengganda daripada kenaikan kos dan cukai yang peniaga lalui.

“Kesan berangkai berlaku di segenap peringkat perniagaan misalnya, di peringkat pengeluar kerana apabila gaji naik dan berlaku peluasan cukai, mereka akan mengalami kenaikan kos. Kenaikan kos itu akan diserap dalam harga barang.

“Apabila pemborong ambil barang itu dengan harga yang naik, barang itu akan pergi kepada peruncit dengan harga turut meningkat sebelum ia sampai kepada peniaga makanan.

“Peniaga makanan pula akan menaikkan harga pada kadar jauh lebih tinggi daripada kenaikan kos,” ujarnya.

Keputusan yang akan dibuat oleh para peniaga nanti akan menjadikan kenaikan harga berlaku secara meluas.

Bagi menangani masalah yang bakal terjadi, beliau menyarankan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggerakkan pasukan pemantau untuk membuat pemantauan lebih agresif terhadapa peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya melebihi apa yang sepatutnya.

Sumber