Pemain muda Indonesia berpeluang untuk beraksi dalam saingan Serie A Itali selepas Como muncul sebagai naib juara divisyen dua liga bola sepak negara itu sekaligus layak ke Serie A musim hadapan.

Como muncul sebagai naib juara selepas mereka mencatat keputusan seri ketika menentang Cosenza pada perlawanan terakhir liga sekaligus menduduki tangga kedua dalam carta liga.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Como dimiliki oleh syarikat dari Indonesia iaitu Djarum Group yang diketuai oleh adik beradik yang merupakan salah satu ahli perniagaan paling berjaya di negara itu iaitu Michael Hartono dan Robert Budi Hartono.

Sehingga 2024, bekas ketua pasukan Chelsea, Dennis Wise dilantik sebagai penasihat kepada lembaga pengarah. Selain Djarum Group, pemegang saham minoriti lain termasuk dua pemain yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Thierry Henry dan Cesc Fàbregas.

Kejayaan Como layak ke saingan Serie A musim hadapan ini membuatkan ramai peminat skuad Garuda yang mahu pemain muda terbaik mereka untuk menimba ilmu dan pengalaman bersama kelab itu.

Ketika ini, bintang muda skuad kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta beraksi bersama kelab Belgium iaitu OH Leuven yang mana pasukan itu dimiliki oleh syarikat terkemuka dari negara tersebut iaitu King Power yang mana Aiyawatt Srivaddhanaprabha bertindak sebagai pengerusi.

Sebelum ini, bekas penyerang skuad B-23 tahun negara, Luqman Hakim diberi peluang untuk beraksi bersama satu lagi kelab Belgium iaitu KV Kortrijk yang dimiliki oleh taikun dari Malaysia iaitu Tan Sri Vincent Tan.

Indonesia memiliki beberapa pemain muda yang memiliki potensi untuk melangkah jauh seperti Marcelino Ferdinan dan beberapa pemain lain seperti Justin Hubner, Nathan Tjoe-A-On dan Rafael Struick yang menyinar ketika saingan AFC B-23 Tahun baru-baru ini.