Sejak semalam tular rakaman dashcam menunjukkan sebuah lori hilang kawalan lalu merempuh sebuah Toyota Supra yang diletakkan di bahu jalan.
Pelbagai sangkaan yang dibuat oleh netizen. Ada mendakwa lori tersebut hilang kawalan, bagaimanapun ramai berasa ada ‘isu’ di antara pemandu lori dengan kereta dashcam yang merakam insiden tersebut.
Baca Juga:
- Tindakan Pemandu Lori Rempuh ‘Divider’ Untuk Elak Langgar Kereta Lain Dipuji Netizen
- ‘Pilot Tak Nampak Ke?’ – Netizen Persoal Pemandu Lori Rempuh Belakang Rider
- Bahana Tiada ‘Beacon Light’, Wanita Tidak Sedar Terlanggar Lori Keluar Simpang
Memetik Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian itu berlaku pada pukul 4.57 petang, semalam membabitkan tiga buah kenderaan.
“Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori dipandu seorang lelaki hilang kawalan lalu melanggar kereta Toyota Supra diparkir di bahu jalan.
“Lori itu kemudian mengundur lalu melanggar kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki yang berada di belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi, kemalangan terjadi selepas pemandu lori cuba mengejar pemandu kereta Honda Civic yang keluar simpang secara mengejut dan membuat provokasi terhadapnya.
“Tindakan pemandu kereta Honda City itu menyebabkan pemandu lori berkenaan marah dan cuba mengejar kenderaan terbabit sebelum melanggar kereta Toyota Supra yang diparkir di bahu jalan.
“Kedua-dua pemandu terbabit ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara kertas siasatan berhubung kejadian itu yang sudah lengkap berhubung akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.