Atlet Indonesia yang membawa pingat emas dari temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris mendapat habuan lumayan apabila menerima hadiah wang tunai berjumlah Rp6 Bilion Rupiah dari kerajaan negara itu.

Perkara ini dikongsikan oleh menteri Belia dan Sukan iaitu Dito Ariotedjo ketika menyambut ketibaan atlet negara itu yang pulang dari Paris baru-baru ini.

Baca Juga:

Dito mendapat arahan tersebut dari presiden, Joko Widodo sebagai satu bentuk penghargaan negara kepada atlet yang telah mengharumkan nama Indonesia di peringkat dunia.

“Menurut arahan presiden Jokowi, pemenang pingat emas akan mendapat Rp6 Bilion (RM1.6 Juta) manakala atlet yang membawa pulang pingat gangsa akan mendapat Rp1.6 Bilion (RM450 Ribu) dan Rp 2.75 Bilion (RM770 Ribu) kepada jurulatih atlet yang memenangi pingat emas.

“Bagi jurulatih kepada atlet yang memenangi pingat gangsa, mereka akan mendapat Rp675 Juta (RM190 Ribu),” katanya.

Tambah Dito, pihaknya tidak melupakan jasa atlet yang tidak membawa sebarang pingat dalam temasya edisi kali ini dimana kerajaan sudah mempersiapkan imbuhan bagi para atlet yang tidak memenangi sebarang pingat.

“Untuk atlet dan jurulatih yang tidak membawa pulang pingat, sebagai bentuk penghargaan dan komitmen kerajaan untuk temasya Olimpik 2024 kami juga akan memberi bonus kepada mereka. Kami akan umumkan tidak lama lagi,” tambahnya.

Sebelum ini, atlet dari negara seberang yang membawa pulang pingat emas menerima bonus sebanyak Rp5.5 Bilion dan kerajaan mengambil keputusan untuk meningkatkan jumlah itu bagi temasya edisi kali ini.

Indonesia mendapat dua pingat emas menerusi Veddriq Leonardo dalam acara memanjat dan Rizki Juniansyah dalam acara angkat berat lelaki kategori 73KG.