Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) terus giat meningkatkan kekuatan pasukan bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran pemain lincah, Mohd Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap Khairuddin.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran kedua-dua pemain itu disahkan oleh laman sosial rasmi JDT Futsal sebentar tadi.

Baca Juga:

Ridzwan hadir ke Johor Bahru dengan reputasi yang cukup hebat apabila telah mengumpul keseluruhan 50 gol sejak MPFL diperkenalkan pada tahun 2019.

Beliau juga turut memainkan peranan penting dalam membantu Pahang Rangers muncul juara berganda pada musim lalu.

Malah, anak kelahiran Tawau, Sabah itu turut dinobatkan sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ saingan Piala Futsal Malaysia 2023 yang menyaksikan beliau turut menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir bertemu JDT.

Mahadir Harahap. Kredit Foto: JDT Futsal

Kelincahan dalam mengatur serangan, kemahiran individu serta bijak menghidu peluang untuk merobek gawang lawan menjadi senjata utama buat Ridzwan yang pastinya amat ditagih skuad futsal JDT dalam usaha mereka menebus kekecewaan dua kali dikecewakan dalam perlawanan akhir pada musim lalu.

Selain Ridzwan, Mahadir Harahap turut memainkan peranan penting buat Pahang Rangers dalam menjuarai dua piala pada musim lalu.

Dengan kekuatan fizikal dimilikinya, Mahadir turut menjadi pilihan pengendali skuad negara, Rakphol Sainetngam untuk membawa cabaran Malaysia pada Kelayakan Piala AFC Futsal di Uzbekistan, tahun lalu.

Dua pemain tersebut meningkatkan kekuatan pasukan yang sebelum ini turut membawa masuk Yazid Kamaruzuan dan Helio Neto.

Sumber