Akira Toriyama, pencipta siri animasi Dragon Ball dan pereka watak untuk permainan video seperti Chrono Trigger dan Dragon Quest meninggal dunia pada usia 68 tahun, lapor Nikkei Asia.
Berita sedih ini datang melalui kenyataan rasmi yang disiarkan di laman web rasmi Dragon Ball dan dikeluarkan oleh Bird Studio Toriyama, yang mengesahkan kematiannya pada 1 Mac.
Baca Juga:
- Cikgu Hilangkan Rasa Mengantuk Murid Dalam Kelas Dengan Kisah Dragonball
- G-Shock Dan Dragon Ball Z Hasilkan Jam Tangan Edisi Khas, Mula Dijual Pada Harga RM1,000
Menurut kenyataan terbabit, kematian pencipta siri animasi Dragon Ball ini bermaksud ternoktahnya pelbagai projek yang sedang diusahakan olehnya dan menghargai segala usahanya dalam mencipta siri-siri yang menjadi kenangan masa kecil setiap peminatnya.
Selain itu, penghargaan juga diberikan kepadanya yang telah menghasilkan pelbagai jenis karya sepanjang berkecimpung di bidang ini selama 45 tahun.
Difahamkan bahawa pengebumian telah pun dilangsungkan dengan dihadiri oleh keluarga terdekat.
Media juga turut diminta untuk tidak menemu bual keluarganya, manakala orang ramai pula diminta untuk tidak menderma bunga atau segala bentuk penghargaan yang lain.
Keluarga Toriyama “belum memutuskan” jika ia akan mengadakan sebarang jenis perhimpunan pada masa akan datang bagi memperingati Akira.
Karya beliau telah merangkumi manga, anime dan permainan video, dan gaya seninya telah dikenali oleh masyarakat dunia.