Bekas pemain skuad kebangsaan, Amri Yahyah menegaskan pengaruh rakan menjadi faktor utama mengapa beliau membatalkan hasrat untuk bersara dan bakal beraksi bersama PT Athletic dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Amri berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pemain serta jersi baharu yang digunakan di salah sebuah hotel di Putrajaya baru-baru ini.
Baca Juga:
- Kelantan Sah Tarik Diri Liga A1 Semi Pro
- Liga M3 Dijenamakan Semula Sebagai Liga A1 Semi Pro
- Senarai Lengkap 16 Pasukan Saingan Liga M3 2024/25
Amri Yahyah yang sudah menginjak usia 43 tahun menjadi senjata utama PT Athletic selain beberapa bekas pemain yang pernah beraksi di Liga Super antaranya Indra Putera Mahyuddin, Syazwan Zainon, Latiff Suhaimi dan Adib Zainuddin.
“Ini pengaruh kawan-kawan. Mereka pujuk saya untuk menyertai pasukan ini bagi membantu mereka untuk menaikkan pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Gaji bukan faktor utama. Saya memang memilih untuk tak menyertai mana-mana pasukan sebab nak memberi fokus bersama keluarga.
“Dari sini saya lihat, keluarga saya memberi galakan supaya teruskan bermain. Oleh itu saya menyertai PT Athletic. Saya harap dapat membantu pemain muda dalam pasukan untuk maju ke peringkat tertinggi dan kelab ini menyerlah musim ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, Indra Putera berharap rakan sepasukan dapat memberi sepenuh fokus musim ini bagi memastikan sasaran yang diletakkan dapat dipenuhi.
“Saya ambil ini sebagai cabaran untuk diri saya. PT Athletic akan beraksi di Liga A1 dan mempunyai sasaran ke Liga Super musim depan.
“Ini tanggungjawab kepada setiap pemain kerana sasaran yang diletakkan cukup besar dan bukan mudah. Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan bagi kelab ini,” kata Indera.
Bagi mengharungi saingan, Liga A1, PT Athletic dibimbing oleh mantan pemain Selangor dan bekas ketua jurulatih Kelantan Darul Naim, Nazrulerwan Makmor.