Mulai 1 Januari 2025, pengunjung yang menginap di Perak akan dikenakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) sebanyak RM3.
Memetik laporan Free Malaysia Today, caj baharu untuk setiap bilik penginapan bagi setiap malam itu diperkenalkan di bawah Enakmen Hotel 2023 diluluskan DUN tahun lalu.
Baca Juga:
- ‘Tindakan Boikot Terhadap KK Mart Bertentangan Dengan Sunnah Rasulullah SAW’ – Mufti Perak
- Pejabat MB Perak Umum Kenaikan Tarif Air Selepas 18 Tahun
- Panggil Pesakit Kanak-Kanak Dengan Gelaran ‘Ekor’, JKN Perak Tegur Doktor Klinik Kesihatan
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata CPT merupakan satu inisiatif tambahan bagi membantu kerajaan negeri memperbaiki mutu perkhidmatan di destinasi pelancongan di negeri tersebut.
“Caj seumpama ini telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.
“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan caj ini ditangguhkan ke 1 Jan 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya petik laporan itu lagi.
Tambahnya lagi, penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 akan dilaksana mulai 1 Julai ini.
Penyeragaman itu melibatkan semua pengendali hotel, rumah tumpangan termasuk pengusaha rumah rehat, tapak perkhemahan, chalet, rumah bot, inap desa dan tempat bermalam atau penginapan lain yang mengenakan caj kepada pengunjung perlu mendapatkan lesen itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagi memberikan tempoh mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.
“Dalam tempoh ini, kita hanya beri nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” katanya.
Jelasnya lagi kadar bayaran lesen mengikut kategori itu tidak akan membebankan pengusaha di Perak.