Lupakan seketika perseteruan, 4 kumpulan penyokong bersatu untuk menentang kenaikan harga tiket di Anfield dan Old Trafford yang dianggap mencekik darah penyokong mereka sendiri dan penyokong lawan yang bertamu.

Penyokong Man United, Everton, Man City dan Liverpool akan melakukan protes pada hujung minggu ini sebagai bantahan ke atas kenaikan harga tiket di Old Trafford dan Anfield.

Salah seorang peminat berkata: “Kamu tahu kamu buat benda yang teruk apabila penyokong seteru dan penyokong kamu sendiri bersatu membuat protes.”

Protes itu akan bermula sekitar 1.30 petang di hadapan Old Trafford sebelum sepak mula antara United vs Everton.

Sementara itu, untuk protes di Anfield, penyokong Man City akan menyertai protes penyokong Liverpool sebelum sepak mula 4.30 petang dia Anfield.

Di Old Trafford, perhimpunan membantah harga tiket itu akan dibuat di hadapat tugu Triniti yang akan diketuai kumpulan penyokong Man United, FC58 dan juga penyokong Everton yang turut akan disertai oleh aktivis bank makanan yang akan mengibarkan banner: ‘Stop Exploiting Loyalty’.

Di Anfield, kumpulan yang sentiasa konsisten membantah sebarang tindak tanduk pengurusan kelab yang dianggap tak betul, Spirit Of Shankly akan bersama sama dengan penyokong City yang digelar City 1894 – juga bersama aktivis bank makanan kedua dua pasukan.

Banner yang sama akan dikibarkan di dalam dan di luar stadium dengan mesej: ‘Enough is enough – stop exploiting loyalty.’

Penyokong tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan kelab yang dianggap mengambil kesempatan ke atas kesetian penyokong. Sedangkan pendapatan kelab menerusi hak penyiaran EPL telah meningkat sekitar 17%.

Walaupun Man United baru sahaja mengumumkan kenaikan harga tiket musim lalu, mereka menaikkan sekali lagi harga tiket termasuk untuk kanak kanak dan warga emas yang meningkat sehingga ke £66 untuk sekeping tiket.

Penyokong kelab EPL yang lain menyokong usaha 4 penyokong ini. Penyokong juga masih menuntut harga siling £30 untuk penyokong lawan yang bertandang.