Nama Arif Aiman menjadi bualan peminat bola sepak Asia di media sosial apabila cemerlang meledak empat gol selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim 2024-2025.

Prestasi tersebut meletakkan pemain yang berusia 22 tahun itu dalam senarai penjaring terbanyak ACLE bersama tonggak Gwangju FC, Jasir Asani, Aleksandar Mitrovic (Al Hilal) serta Anderson Lopes (Yokohama F. Marinos).

Baca Juga:

Bukan itu sahaja, kelincahan Arif Aiman di atas padang turut menarik perhatian penyokong kelab gergasi Scotland, Rangers FC yang mahu melihat pemain sayap Harimau Malaya tersebut menyarung jersi pasukan mereka musim depan.

“Arif pemain yang konsisten bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat kelab elit asia dengan 4 gol serta 1 bantuan jaringan dalam empat perlawanan.

“Cukup berbahaya di depan gawang sama ada menjaringkan gol atau mencipta peluang.

“Pemain sayap ini cukup lincah dan kerap berdepan pemain pertahanan dengan kadar kejayaan menggelecek 74 peratus yang tinggi musim ini.

“Bersedia untuk cabaran seterusnya dalam kariernya dan boleh menawarkan kontrak pada Januari nanti,” kata The Rangers Journal menerusi laman X sambil memetik nama Nils Koppen, Ahli Lembaga Pengarah Rangers FC.

Hantaran The Rangers Journal turut menarik perhatian seorang lagi penyokong Rangers yang menyifatkan Arif Aiman pilihan pemain berkualiti dengan harga lebih murah berbanding pemain eropah.

“Ini adalah liga untuk dilihat. Mungkin Liga Malaysia tidak sehebat Liga Scotland (saya tidak pernah menonton Liga Malaysia), tetapi pemain yang bermain di peringkat tertinggi di sana, akan lebih murah berbanding dengan pemain dari liga Eropah,” tulis KyleRC.

Sebelum ini, Arif Aiman menarik perhatian beberapa media antarabangsa termasuk ESPN Asia yang menyifatkan pemain muda Malaysia itu memiliki potensi beraksi di eropah.

“Satu lagi aksi luar biasa Arif Aiman, satu lagi kemenangan menakjubkan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit,” lapor ESPN Asia.

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam satu sidang media baru-baru ini turut meramalkan Arif Aiman bakal jadi antara pemain terbaik Asia satu hari nanti.