Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berpendapat bahawa penyerang berbisanya, Erling Haaland bakal tampil dengan lebih tajam bagi merobek gawang lawan pada musim ini.
Selepas mengharungi dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25, Haaland sudah menghasilkan empat gol dimana satu daripadanya dicipta ketika menundukkan Chelsea dan meledakkan hatrik pada pertemuan menentang Ipswich Town.
Baca Juga:
- Pep Guardiola: Tahniah Arsenal Untuk Musim Yang Luar Biasa
- Liridon Krasniqi: Ramai Orang Nak Jadi Pep Guardiola
- Penyokong Arsenal Ganggu Kem Man City, Rupanya Pep & Pemain Masih Belum Sampai London
Guardiola melihat sosok tubuh berusia 24 tahun itu cukup bekerja keras pada musim baharu ini dalam usaha meningkatkan lagi kemampuannya.
Musim lalu menyaksikan jumlah jaringan yang dihasilkannya sedikit menurun ekoran beberapa kecederaan dialaminya tetapi Erling Haaland masih mampu bergelar penjaring terbanyak liga dengan 27 gol.
“Saya mempunyai perasaan bahawa dia akan menjadi lebih tajam pada musim ini. Selepas sesi latihan, dia tinggal lebih lama untuk berlatih menyempurnakan hantaran silang dan kawalan bola.”
“Musim lalu ia tidak pernah berlaku kerana keadaannya tidak begitu sempurna. Dengan tubuhnya, dia harus sempurna untuk beraksi pada tahap itu.”
“Saya suka apabila dia banyak berlari. Saya juga sukakan keadaan apabila dia menekan pertahanan lawan seperti ‘haiwan’. Ia amat membantunya untuk menjaringkan gol.”
“Bahasa badannya… bayangkan seorang pertahanan tengah sedang memegang bola dan dia (Haaland) membuat pecutan dengan badan dan kakinya bergerak. Ia nyata amat menakutkan dan membantu kami dengan pemain di posisi tengah untuk menyokongnya.”
“Dan kemudian kami lebih berkesan dalam tekanan tinggi kami. Kita perlukan dia,” ujar Pep Guardiola menurut sumber laporan Goal.