Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan tiada pasukan di dunia ini yang mampu beraksi konsisten dalam tempoh 10 musim.

Pep berkata demikian selepas beliau terus menerima kritikan ekoran City gagal untuk mencatat kemenangan dalam enam perlawanan yang dihadapi dalam semua kejohanan kebelakangan ini.

Baca Juga:

Menurut bekas pengendali Bayern Munich itu, beliau akan membuktikan bahawa City mampu untuk mempamerkan kebangkitan dalam perlawanan seterusnya.

“Apabila semua berjalan dengan lancar, maka mudah untuk kami. Kini saya perlu membuktikan kemampuan saya. Kami tewas dalam lima perlawanan, seri satu yang mana kami berpeluang untuk memenangi perlawanan itu.

“Saya harus menerima keputusan tersebut. Saya tidak merungut, tidak menyalahkan orang lain dan tidak lari dari tanggungjawab. Saya memikul sepenuhnya tugasan ini.

“Dalam tempoh satu dekad, kami berada di sini. Beritahu saya pasukan mana yang berjaya tampil konsisten dalam tempoh masa 10 tahun? Perkara itu tak wujud.

“Tidak dalam NBA, tenis, golf ataupun sukan lain. Kami akan bangkit semula. Saya percaya dengan kemampuan yang kami ada,” katanya.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini berada di tempat kedua dalam carta Liga Perdana
Inggeris (EPL), dengan kelebihan satu mata di hadapan Chelsea, Arsenal dan Brighton.

City akan turun menentang Liverpool yang muncul sebagai pendahulu dalam carta liga dan The Cityzens wajib mencatat kemenangan sekiranya mahu merapatkan kedudukan dengan The Reds.

Baru-baru ini, Pep menandatangani kontrak lanjutan selama dua musim yang menyaksikan beliau akan kekal sebagai pengurus sehingga tahun 2027.

Dia tidak menyesal dengan keputusan itu dan begitu juga dengan kelab itu selepas kejayaan yang belum pernah berlaku sebelum ini sejak ketibaannya pada 2016 termasuk rekod empat gelaran liga perdana berturut-turut dan Treble bersejarah pada 2023.