Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.

Baca Juga:

Menurut Anwar, peruntukan sebanyak RM10 adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.

“Pada hari ini, mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat mengenai bola sepak, saya mengambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia.

“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya di antara gergasi di Asia,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Harimau Malaya
FOTO: FAM

Januari lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima peruntukan berjumlah RM5 juta daripada kerajaan atas kejayaan Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 ketika saingan Piala Asia 2023.

Peruntukan terbabit adalah hasil daripada penat lelah dan kesungguhan barisan pemain Harimau Malaya mempamerkan aksi memukau apabila bertemu pasukan yang berada di kedudukan ke-23 dunia pada terakhir kumpulan E di Stadium Al-Jonoub, Qatar.

Harimau Malaya akan kembali beraksi bertemu Filipina pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Jika menang, skuad kendalian Pau Marti itu bakal bertemu sama ada juara bertahan, Tajikistan atau Lubnan di final yang akan berlangsung, Ahad ini.

Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 di pentas akhir, 17 Oktober tahun lalu.