Perjuangan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei di Sukan Olimpik Paris 2024 telah berakhir apabila tewas dalam aksi terakhir Kumpulan H, hari ini.

Beliau sudah mengerah segala kudrat yang ada namun masih belum cukup untuk menewaskan pemain dari Korea Selatan, Kim Ga Eun dalam pertarungan tiga set, 21-17, 20-22, 21-23 selama 65 minit.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Keputusan itu menyaksikan Ga Eun muncul juara kumpulan, mengatasi Jin Wei yang sekadar berpuas hati selaku naib juara. Hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan sahaja layak ke pusingan 16 terakhir.

Selepas tewas set pertama, Jin Wei bangkit tampil dengan permainan lebih agresif di set kedua untuk menang 22-20 sekali gus mengheret ke set penentuan.

Aksi set ketiga berlangsung penuh mendebarkan apabila kedua-dua pemain saling mengejar mata.

Malah, Jin Wei nyaris menoktahkan perlawanan dengan kemenangan ketika mendahului 20-18 namun Ga Eun tidak mudah putus asa dan berjaya bangkit menyamakan kedudukan 21-21.

Ga Eun selepas itu tampil dengan permainan agresif bagi memburu mata kemenangan dan akhirnya berjaya menamatkan aksi dengan 23-21.

Di sebalik kekalahan itu, peminat badminton tanah air tetap bangga dengan perjuangan Ji Wei dan menyifatkan ia adalah kekalahan bermaruah.

Bekas juara remaja dunia itu hadir di Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa jurulatihnya namun beliau dibantu oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara.