Kalau anda fikir jalan sesak di Kuala Lumpur atau Jakarta dah cukup tertekan, tunggu sampai dengar cerita tentang jalanan di Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.
Gabenor Kaltara, Zainal Arifin Paliwang baru-baru ini berkongsi realiti pahit tentang negeri yang terletak di hujung utara Borneo itu — betapa sukarnya membina masa depan dengan bajet yang semakin mengecil.
Dalam satu sesi rapat kerja bersama Komisi II DPR di Jakarta pada 28 April 2025, Zainal mendedahkan bahawa Kaltara mengalami pengurangan dana besar-besaran.
Bayangkan, daripada anggaran awal Rp 2.4 trilion untuk tahun 2024, kini tinggal hanya Rp 469 bilion.
Padahal, 85% dari belanjawan tahunan (APBD) mereka bergantung kepada kerajaan pusat dari APBN.
“Kalau dapat dana transfer Rp 469 miliar, kurang dari Rp 2 trilion, mau berbuat apa?” katanya terus-terang seperti dilaporkan oleh CNN Indonesia.
Dari Indonesia ke Tawau: Dua Dunia Berbeza
Kaltara adalah wilayah sempadan yang menjadi “wajah depan” Indonesia.
Namun menurut Zainal, perbezaan pembangunan antara Indonesia dan Malaysia di kawasan sempadan terlalu ketara.
“Berdiri di Sebatik tengok ke Tawau (Malaysia), bangunan penuh cahaya. Tapi tengok balik ke Sebatik (Indonesia), gelap gulita,” katanya.
Kekurangan dana menyebabkan pembangunan infrastruktur jalanan di Kaltara amat ketinggalan.
Sebagai contoh, untuk menempuh jarak 60 km di kawasan sempadan, boleh mengambil masa hingga 6 jam — berbanding di Jakarta ke Bogor (jarak sama) yang hanya ambil masa sekitar 1 jam.
Lebih ekstrem lagi, perjalanan darat dari Malinau ke Krayan (sekitar 108 km) memakan masa 3 hari 2 malam.
Zainal berkongsi pengalaman tidur di tepi jalan, dan kenderaan yang tersangkut perlu diderek menggunakan buldozer atau ekskavator kerana jalan yang berlumpur dan jambatan yang roboh.
Jambatan Kayu dan Simen Mahal
Dalam keadaan serba kekurangan, masyarakat tempatan bangkit secara gotong-royong.
Mereka membina jambatan-jambatan kecil menggunakan batang kayu agar laluan tetap boleh digunakan.
Namun cabaran lain tetap menggunung: harga bahan binaan seperti simen melambung tinggi.
Satu beg simen di Krayan boleh mencecah Rp 900 ribu — hampir menyamai harga di kawasan pedalaman Papua.
Disebabkan itu, bahan binaan untuk projek penting seperti Pos Lintas Batas Negara (PLBN) di Long Nawang terpaksa diimport dari Malaysia.
“Bahan bangunan dari Malaysia — lebih murah, lebih dekat,” akui Zainal.
‘NKRI di Hati, Tapi Perut dari Malaysia’
Kesan daripada kemerosotan infrastruktur dan ekonomi ini, penduduk Kaltara bergantung pada Malaysia untuk keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan barang dapur lain.
“Untung mereka semua masih setia dengan NKRI. Tapi perut mereka, dari Malaysia,” kata Zainal dalam nada kecewa.
Kerajaan daerah berusaha meringankan beban dengan memberikan subsidi pengangkutan barang dan orang ke kawasan sempadan, dengan peruntukan sekitar Rp 15 miliar setahun.
Tetapi dengan kekangan bajet baru, jumlah ini dijangka menyusut lagi tahun ini.