Malaysia menempah tempat ke final Pestabola Merdeka 2024 apabila berjaya menundukkan Filipina 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya akan berdepan Lebanon pada aksi final yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu hampir dihukum seawal minit pertama berpunca daripada serangan balas Filipina susulan kesilapan pertahanan negara.

Namun, percubaan Dylan Demuynck ketika hanya berhadapan satu lawan satu dengan Ahmad Syihan Hazmi diselamatkan penjaga gol utama skuad negara itu.

Malaysia yang memperkemaskan aksi selepas itu mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan pertama pada minit kelapan, tetapi kuisan ‘backheel’ Daniel Ting selepas mendapat umpanan lintang Arif Aiman Md Hanapi sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Filipina.

Dalam keghairahan pemain negara menguasai permainan, Filipina mengejutkan kem Malaysia dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Berpunca daripada keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti dimana pertahanan Malaysia gagal mengeluarkan bola dengan baik telah memberikan ruang buat Jefferson Tabinas untuk melakukan hantaran yang membias terkena kaki Feroz Baharudin lalu bola bergolek masuk bagi memberikan kelebihan satu gol buat Filipina.

Jaringan penyamaan skuad negara hadir pada minit ke-43 selepas percubaan ‘placing’ ketika situasi sepakan penjuru tidak mampu diselamatkan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge.

Malaysia hampir menambah jaringan beberapa minit kemudian tetapi dua percubaan Paulo Josue hanya ‘menyepak angin’ dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Arif Aiman.

Gol kedua yang dinantikan penyokong Malaysia menjelma pada minit ke-73 selepas pemain gantian, Safawi Rasid tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan berikutan kekasaran dilakukan Matthew Baldisimo terhadap Arif Aiman ketika Malaysia melakukan serangan balas pantas.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk memberikan ruang buat skuad Harimau Malaya peluang menebus kehampaan tewas pada aksi final edisi lalu.

Tahun lalu menyaksikan skuad negara tewas 0-2 pada perlawanan akhir kepada Tajikistan.