Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 selepas sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kedudukan seri itu sekali gus membawa Singapura untuk mengiringi juara kumpulan A, Thailand ke separuh akhir.

Baca Juga:
- Piala ASEAN 2024: Kesilapan Mudah Penjaga Gol Malaysia Bantu Thailand Menang 1-0
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Hampir Dimalukan, Catat Kemenangan Tipis 3-2 Ke Atas Timor-Leste
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Sekadar Seri Bertemu Kemboja
Sedar hanya kemenangan sahaja yang akan membawa mereka ke separuh akhir sambil mengharapkan tiada keajaiban berlaku di Bangkok (Thailand lawan Kemboja), barisan pemain negara tampil dengan baik untuk mengasak kubu Singapura.
Semangat juang tinggi itu jelas kelihatan yang menyaksikan anak buah Pau Marti Vicente mengasak gawang lawan dikawal Mohamada Izwan Mahbud sejak awal permainan.
Namun, penjaga gol berpengalaman Singapura itu cukup tenang dan kental bertahan untuk menghalang pintu golnya daripada dibolosi.
Peluang keemasan skuad negara hadir pada minit ke-42 selepas umpanan cantik Sergio Aguero terus mencari Haqimi Azim Rosli yang meluru pantas ke arah pintu gol Singapura.
Percubaan Haqimi bagaimanapun berjaya diselamatkan Izwan manakala percubaan susulan Daniel Ting dipintas Lionel Tan untuk menggagalkan usaha Malaysia.
Aksi babak kedua lebih menarik untuk disaksikan dengan Malaysia lebih banyak mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan.
Tekanan memuncak dijelmakan ke arah gawang Singapura sudah membuatkan jentera pertahanan dan Izwan terpaku namun tandukan Paulo Josue dan Harith Haiqal Adam Afkar sekadar singgah di palang gol pada minit ke-62 serta berselang tujuh minit kemudian.
Beberapa percubaan yang dicipta juga masih belum mampu untuk menembusi kekentalan pintu gol skuad kendalian Tsutomu Ogura itu.
Manakala Singapura juga turut mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan tetapi penjaga gol Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli bertindak cemerlang dalam menggagalkan tiga percubaan berbahaya.
Ketumpulan jentera serangan untuk mendapatkan jaringan itu kekal hingga tamat permainan yang nyata mengecewakan kem Malaysia manakala Singapura pula melonjak kegembiraan.