Qatar berada di landasan tepat untuk mengekalkan kejuaraan apabila mara ke final Piala Asia 2023 selepas berjaya menundukkan Iran 3-2 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Al-Thumama Stadium sebentar tadi.
Seperti dijangka, aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dengan intensiti serta ‘suhu’ yang cukup tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Atasi Tajikistan 1-0, Qatar Sahkan Kemaraan
- Piala Asia 2023: Akram Afif Wira Qatar Tewaskan Lubnan
- Piala Asia 2023: Qatar Sumbang Jualan Tiket Kepada Palestine
Iran terlebih dahulu berada dihadapan apabila Sardar Azmoun yang tidak dikawal pertahanan tuan rumah melakukan percubaan akrobatik untuk menewaskan penjaga gol, Meshaal Aissa Barsham.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Qatar melakukan serangan balas pantas pada minit kelima tetapi percubaan Akram Afif dalam kawasan penalti mudah ditangkap Alireza Beiranvand.
Penyokong Qatar melonjak kegembiraan pada minit ke-17 selepas percubaan dari luar kawasan penalti oleh Jassem Gaber Abdulsallam membias terkena Saeid Ezatolahi lalu yang tidak mampu diselamatkan Beiranvand untuk kedudukan kembali terikat.
Akram Afif menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-43 selepas gerakan lincahnya disudahkan dengan rembatan cantik yang membuatkan Beiranvand sekali lagi hampa.
Aksi makin menarik dengan jaringan penyamaan dihasilkan oleh Alireza Jahanbakhsh menerusi sepakan penalti pada minit ke-51 selepas pengadil perlawanan membuat rujukan Video Assistant Referee (VAR).
Memasuki minit ke-52, Qatar berpeluang untuk menambah jaringan tetapi rembatan dalam kawasan penalti diledakkan Yusuf Abdurisag diselamatkan Beiranvand.
Tandukan Azmoun pada minit ke-75 pula diselamatkan di atas garisan oleh pemain pertahanan gantian, Boualem Khoukhi.
Almoez Ali muncul wira buat Qatar apabila percubaan leret dilakukannya di minit ke-82 berjaya membolosi gawang Alireza Beiranvand sekali gus membawa skuad kendalian Tintin Marquez buat edisi kedua berturut-turut walaupun Iran memberikan tekanan hebat pada lewat permainan dengan kekurangan seorang pemain.