Korea Selatan bangkit pada lewat permainan untuk berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 pada pertemuan kedua kumpulan E Piala Asia 2023 bertemu Jordan yang berlangsung di Al-Thumama Stadium, sebentar tadi.
Keputusan seri itu menyaksikan Korea Selatan masih berada ditangga kedua kerana Jordan memiliki kelebihan perbezaan jaringan meskipun kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Korea Selatan Tiada Masalah Tewaskan Bahrain
- Piala Asia 2023: Jordan Mudah Tundukkan Malaysia 4-0
- Ini Jumlah Wang Bakal Diterima Semua Negara Yang Beraksi Di Piala Asia 2023
Korea Selatan bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan pada minit kesembilan selepas Son Heung-min tidak bermasalah untuk menyempurnakan sepakan penalti.
Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil perlawanan, Salman Al Falahi buat Korea Selatan selepas Ehsan Haddad mengasari Son dalam kawasan penalti.
Jordan yang cemerlang menundukkan Malaysia 4-0 tempoh hari bangkit dengan aksi lebih bertenaga untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Korea Selatan.
Ia jelas dapat disaksikan apabila Mousa Al-Taamari mendapat peluang dalam kawasan penalti, namun ledakannya dinafikan penjaga gol, Jo Hyeon-woo pada minit ke-21.
Selang lapan minit kemudian, Hyeon-woo menepis keluar percubaan yang dijelmakan Mahmoud Al-Mardi ketika situasi sepakan percuma.
Usaha berterusan skuad kendalian Houcine Ammouta itu membuahkan hasil pada minit ke-37 selepas Park Yong Woo tertanduk bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang sepakan penjuru Al-Mardi untuk kedudukan kembali terikat.
Ketika aksi babak pertama memasuki masa kecederaan, Yazan Al-Naimat memberikan kelebihan buat Jordan menerusi percubaan voli dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan Hyeon-woo.
Tersentak dengan keputusan tersebut, anak buah Jurgen Klinsmann menggandakan asakan dengan menguasai sebahagian besar aksi di babak kedua.
Namun, beberapa percubaan dilancarkan terutamanya menerusi Lee Kang In yang meledakkan dua rembatan dari luar kawasan penalti pada minit ke-67 dan ke-82 berjaya diselamatkan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila.
Korea Selatan akhirnya menarik nafas lega pada minit ke-91 apabila percubaan Hwang In-Beom membias terkena Yazan Alarab lalu bola melantun dan masuk ke gawangnya sendiri.
Pasukan ranking ke-23 dunia itu terlepas peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan kemenangan setelah percubaan Hong Hyeon-Seok dari jarak dekat ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol gagal menemui sasaran.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.