Jordan meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Asia 2023 selepas berjaya menundukkan Tajikistan 1-0 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Ahmed bin Ali Stadium, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut juga sekali gus merupakan sejarah baharu buat Jordan yang pertama kali mara ke separuh akhir saingan paling berprestij di Asia itu.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Gol Sendiri Yazan Alarab Selamatkan Korea, Seri 2-2 Bertemu Jordan
- Piala Asia 2023: Jordan Mudah Tundukkan Malaysia 4-0
- Piala Asia 2023: Senarai Lengkap Pasukan Ke Suku Akhir & Jadual Perlawanan
Pencapaian terbaik Jordan dalam kancah Piala Asia sebelum ini adalah mara sehingga ke peringkat suku akhir edisi 2004, 2011 dan 2023.
Berada di ranking lebih baik berbanding Tajikistan, Jordan tampil garang sejak wisel permulaan ditiup pengadil dari China, Fu Ming.
Jordan mendapat peluang seawal minit ketiga menerusi Yazan Al-Naimat tetapi percubaan leret dari luar kawasan penalti dilepaskan penyerang tersebut sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Tajikistan.
Memasuki minit ke-35, rembatan padu Ali Olwan dari luar kawasan penalti pula dinafikan penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Bagaikan mendapat tonik berguna di waktu rehat, Tajikistan tampil dengan lebih baik bagi menguasai permainan dan mendapat peluang untuk mengancam kubu Jordan.
Namun, percubaan Alisher Shukurov pada minit ke-52 sedikit melewati palang gol dan dua minit kemudian, tolakan Shervoni Mabatshoev dalam kawasan penalti setelah mencuri bola dari kaki Salem Al Ajalin pula tersasar.
Jaringan yang dinantikan Jordan akhirnya menjelmaka pada minit ke-66 apabila tandukan Abdallah Nasib susulan situasi sepakan sudut membias terkena Vakhdat Khanonov lalu bola masuk ke gawangnya sendiri.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Tajikistan cuba untuk bangkit dan mendapat peluang pada minit ke-74 menerusi Shukurov. Namun, rembatan padu pemain tengah itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Yazeed Abulaila.
Usaha kedua-dua pasukan untuk mengubah kedudukan selepas itu tidak membuahkan hasil lalu memberikan kegembiraan buat kem Jordan bagi melangkah ke separuh akhir.
Menanti mereka di separuh akhir adalah pemenang antara Australia dan Korea Selatan yang akan beraksi pada 11.30 malam nanti.