Saingan Piala Asia Futsal 2024 bakal memasuki aksi suku akhir bermula petang esok yang menyaksikan tuan rumah, Thailand dan Vietnam menjadi wakil dari Asia Tenggara (ASEAN).
Berada dalam satu kumpulan, Thailand mara selaku juara kumpulan dengan rekod kemenangan bersih dalam tiga perlawanan manakala Vietnam pula bernasib baik dengan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki berbanding Myanmar.
Baca Juga:
- Piala Asia Futsal 2024: Tajikistan Pastikan Jepun Pulang Awal
- Piala Asia Futsal 2024: Thailand Mudah Atasi China
- Piala Asia Futsal 2024: Uzbekistan Tundukkan Australia 3-2
Skuad futsal Thailand cemerlang menundukkan China 3-1, Myanmar 5-0 dan Vietnam 2-1 untuk mengungguli peringkat kumpulan dan akan bertemu naib juara kumpulan B iaitu Iraq.
Berdasarkan ranking serta mendapat sokongan padu para penyokong di Huamark Indoor Stadium, Thailand dilihat memiliki kelebihan untuk melangkah ke separuh akhir.
Namun, ia hanyalah penilaian di atas kertas dan Iraq juga pastinya sudah bersedia untuk menyerap tekanan tersebut berbekalkan kejayaan mereka menundukkan Arab Saudi 5-1 dan Australia 6-2.
Sementara itu, Vietnam pula akan berhadapan dengan pemenang tempat ketiga edisi lalu dan tuan rumah Piala Dunia Futsal 2024, Uzbekistan.
Dibimbing oleh Diego Giustozzi yang pernah membawa Argentina muncul juara Piala Dunia Futsal 2016, Vietnam jelas berhadapan dengan tugas sukar.
Mereka perlu untuk berhadapan dengan pemain-pemain berkualiti tinggi dimiliki Uzbekistan seperti Dilshod Rakhmatov, Akbar Usmonov dan Elbek Tukinov.
Sementara itu dua lagi aksi suku akhir bakal menemukan juara lima kali, Iran bertemu Krygzstan dan Tajikistan bertemu Afghanistan.
Edisi yang diadakan di Bangkok, Thailand itu menyaksikan Jepun gagal melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.