Thailand berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 16 saingan Piala Dunia Futsal 2024 selepas berjaya menundukkan Cuba 10-5 pada aksi kedua yang berlangsung malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan skuad kendalian Miguel Rodridgo itu dimana sebelum ini mereka menewaskan Croatia 2-1.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Kejayaan mara ke pusingan ke-16 secara automatik itu menyaksikan Thailand mengulangi pencapaian edisi 2016 di Colombia apabila ketika itu skuad Gajah Perang tersebut menghuni tangga kedua kumpulan B.

Lebih menarik, ia merupakan kali keempat berturut-turut wakil Asia Tenggara itu berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Pada perlawanan bertemu Cuba dalam aksi kumpulan B, tiga pemain berjaya menjaringkan dua gol buat Thailand iaitu menerusi sumbangan gol daripada Suphawut Thueanklang, Itticha Praphaphan dan Muhamamd Osamanmusa.

Sementara itu Krit Aransanyalak, Ronnachai Jungwongsuk, Apiwat Chaemcharoen dan Sarawut Phalaphruek masing-masing dengan satu gol untuk mengesahkan kemenangan besar buat skuad Futsal Thailand.

Manakala juara terbanyak Piala Dunia Futsal, Brazil tidak berdepan masalah untuk turut melangkah ke pusingan kalah mati selepas membelasah Croatia 8-1.

Selepas mengharungi dua perlawanan, anak buah Marquinhos Xavier telah meledakkan 18 gol apabila Brazil turut berjaya membelasah Cuba 10-0 tempoh hari.

Tidak hairanlah Brazil menjadi salah satu pasukan yang disebut-sebut menjadi calon untuk menjulang piala pada edisi kali ini.

Selain Brazil dan Thailand, Paraguay turut mengesahkan kemaraan selepas meraih kemenangan kedua hasil kemenangan 4-1 ke atas tuan rumah, Uzbekistan.

Pada perlawanan pertama yang berlangsung minggu lalu, wakil Amerika Selatan itu menundukkan Costa Rica 5-2.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara secara automatik ke pusingan 16 manakala empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga akan menyertai 12 pasukan lagi.