Thailand yang bakal beraksi dalam saingan Piala Dunia Futsal buat kali ketujuh berturut-turut pada edisi 2024 di Uzbekistan telah diundi satu kumpulan bersama juara lima kali, Brazil.

Ia merupakan tugas yang cukup getir buat skuad kendalian Miguel Rodrigo kerana seperti diketahui Brazil merupakan gergasi futsal dan turut berada di ranking pertama dunia.

Baca Juga:

Selain Brazil, dua lagi pasukan yang bakal dihadapi wakil tunggal Asia Tenggara (ASEAN) itu ialah Croatia dan Cuba.

Berdasarkan rekod pertemuan dalam sejarah Piala Dunia sebelum ini, Thailand pernah bertemu Brazil pada edisi 2004 di Chinese Taipei, bagaimanapun mereka tunduk 1-9 dalam kempen yang menyaksikan Brazil menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Manakala pada tahun 2016 di Colombia, Thailand berjaya menundukkan Cuba menerusi jaringan ketua pasukan pada ketika ini iaitu Jirawat Sornwichian dan satu lagi jaringan sendiri pemain lawan.

Namun, semua itu merupakan sejarah lalu yang tidak boleh dinilai cabaran bakal dihadapi pada edisi kali ini.

Tambahan pula Thailand dengan adunan pemain muda dan berpengalaman serta mendapat sentuhan bintang yang berkelana di Sepanyol, Muhammad Osamanmusa.

Pencapaian terbaik dilakarkan Thailand adalah melepasi peringkat kumpulan pada 2012, 2016 dan 2021 dimana perjuangan mereka kesemuanya tamat di pusingan kedua (best of 16).

Portugal merupakan juara bertahan selepas menundukkan bekas juara, Argentina 2-1 pada aksi final di Lithuania.

Berikut merupakan keputusan penuh undian Piala Dunia Futsal 2024 yang akan bermula pada 14 September nanti:

Kumpulan A: Uzbekistan, Netherlands, Paraguay, Costa Rica
Kumpulan B: Brazil, Cuba, Croatia, Thailand
Kumpulan C: Argentina, Ukraine, Afghanistan, Angola
Kumpulan D: Spain, Kazakhstan, New Zealand, Libya
Kumpulan E: Portugal, Panama, Tajikistan, Morocco
Kumpulan F: IR Iran, Venezuela, Guatemala, France