Thailand memulakan kempen Piala Dunia Futsal 2024 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Croatia 2-1 pada aksi pembukaan kumpulan B yang berlangsung di Bukhara Universal Sports Complex, Uzbekistan sebentar tadi.
Kemenangan dilakarkan anak buah Miguel Rodrigo itu bagaimanapun tidak hadir dengan muda apabila Croatia memberikan tekanan hebat sepanjang perlawanan.

Baca Juga:
- Senarai Penuh Negara Bertanding Dalam Piala Dunia Futsal 2024
- Nostalgia Malaysia Mengharungi Piala Dunia Futsal 1996 Tanpa Pengalaman Futsal
- 4 Pemain Thailand Ini Bakal Buat Penampilan Keempat Dalam Piala Dunia Futsal
Penjaga gol Thailand, Arut Senbat mempamerkan kecemerlangan dalam usaha menafikan deretan percubaan berbahaya dijelmakan Croatia. Malah, beliau turut dipilih sebagai ‘Pemain Terbaik Perlawanan’.
Thailand tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Muhammad Osamanmusa merobek gawang Croaria seawal minit ketiga.
Menerima hantaran lintang daripada Sarawaut Palaphruek, Osamanmusa tidak mensia-siakan peluang untuk percubaan leret yang menewaskan penjaga gol lawan, Zoran Primic.
Melihatkan kepada statistik perlawanan, anak buah Marinko Mavrovic selepas itu melakukan serangan bertali-arus ke kubu Thailand, namun Arut cukup kental bertahan menghalang gawangnya daripada dibolosi pada babak pertama.
Kem Thailand melonjak kegembiraan buat kali kedua setelah Ronnachai Jungwongsuk meledakkan percubaan dalam kawasan D ketika pemain Croatia gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-29.
Seminit kemudian, ketua pasukan Croatia, Antonio Sekulic akhirnya berjaya menembusi gawang Arut menerusi percubaan leret yang gagal diselamatkan penjaga gol berusia 36 tahun itu.
Thailand hampir menambah jaringan ketiga selang beberapa minit kemudian tetapi percubaan Osamanmusa ketika beliau hanya berhadapan dengan Primic berjaya dinafikan.
Walaupun Croatia menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk menyamakan kedudukan tetapi barisan pemain Thailand cukup berdisiplin dalam mempertahankan gawang mereka sekali gus berjaya meraih tiga mata penuh.
Thailand akan bertemu Cuba pada aksi kedua manakala Croatia menentang Brazil yang dijadualkan berlangsung 17 September ini.