Skuad hoki lima sebelah (5s) Malaysia mencipta sensasi mara ke final Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas berjaya menundukkan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Muscat, Oman sebentar tadi.
Berdepan lawan yang memiliki kelebihan fizikal tidak langsung mengganggu rentak anak buah Wallace Tan untuk beraksi dengan cukup bertenaga sepanjang perlawanan.
Baca Juga:
- Piala Dunia Hoki 5s 2024: Malaysia Cemerlang Ke Separuh Akhir
- Piala Dunia Hoki 5s 2024: Belasah Fiji 8-3, Malaysia Ke Suku Akhir
- Impian Skuad Hoki Malaysia Ke Sukan Olimpik 2024 Terpadam
Penjaga gol Malaysia, Che Shahrul Azmi Che Saupi bertindak cemerlang pada minit ketiga apabila beliau menafikan percubaan ‘penalty challenge’ oleh Eryk Bembenek.
Muhammad Arif Syafie Ishak membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi pukulan penalti strok selepas percubaan awal Abid Sufian Mat Ruslee terkena badan pemain Poland.
Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan dua minit apabila Damian Jarzembowski menyudahkan peluang dihadapan pinu gol negara untuk kembali mengikat kedudukan.
Corak permainan sengit berterusan pada babak kedua yang menyaksikan ledakan jauh Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin berjaya memperdayakan penjaga gol, Maciej Pacanowski pada minit ke-19.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral pemain negara yang kemudiannya menambah dua gol pantas menerusi ketua pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-22 dan ke-24.
Tersentak dengan kelebihan dimiliki Malaysia, Poland menggandakan asakan dan berjaya mendapatkan dua gol hasil sumbangan Wojciech Rutkowski dan Jakub Holosyniuk.
Holosyniuk mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada saat akhir permainan, tetapi beliau mensia-siakan peluang ‘penalty challenge’ yang sekali gus membawa Malaysia ke final untuk berhadapan Belanda pada awal pagi esok.