Malaysia gagal meraih kejuaraan ketiga dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas tewas 1-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Kekalahan itu juga melanjutkan lagi penantian skuad negara untuk menewaskan musuh seteru itu dalam acara regu berpasukan dimana kali terakhir melakukannya pada 1991.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam misi memburu kejuaraan ketiga kejohanan ini, Ahmad Jais Baharun membuat pertukaran dengan meletakkan gandingan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam sebagai regu pertama untuk berhadapan dengan Siriwat Sakha, Varayut Jantarasena dan Poramet Siriswat.

Ia jelas merupakan perubahan taktikal kerana trio negara itu sebelum ini turun sebagai regu kedua pada tiga aksi sebelum ini menentang Jepun, India dan Indonesia.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila mereka memberikan kesukaran buat trio Thailand itu sekali gus memberikan mata berharga buat kem negara.

Mendapat sokongan padu para penyokong yang membanjiri Stadium Titiwangsa, regu pertama negara itu bangkit daripada ketinggalan 3-8 untuk merapatkan jurang kepada 8-9.

Namun, beberapa kesilapan dilakukan membolehkan Thailand untuk mencuri set pertama dengan kemenangan 21-9.

Kekalahan set pertama itu tidak langsung merentap semangat juang Syahir, Azlan dan Farhan untuk tampil lebih kemas dan berjaya mengheret aksi ke set penentuan hasil kemenangan 15-11.

Kebangkitan hebat dijelmakan gandingan negara pada set ketiga dimana mereka bangkit daripada ketinggalan 3-8 dan mengikat kedudukan ketika mata 13-13.

Keghairahan mereka untuk memburu mata tidak lagi dapat dibendung yang akhirnya menyaksikan mereka mengesahkan kemenangan dramatik 15-13.

Thailand kemudiannya menyamakan kembali kedudukan selepas Kritsanapong Nontakote, Pichet Pansan dan Wichan Temkort mudah menundukkan regu kedua negara yang terdiri daripada Haziq Hairul Nizam, Noraizat Mohd Nordin serta Amirul Zazwan Amir 15-8, 15-5 untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi regu ketiga.

Ketika harapan disandarkan kepada Zuhri Zain (Zarif Marican Ibrahim Marican), Baihakki A’ripin (Muhammad Shahalril Aiman Halim) dan Aidil Aiman Azwawi untuk mendapatkan mata kemenangan, mereka gagal untuk merealisasikan impian tersebut selepas tunduk 12-15, 12-15 kepada Pornthep Tinbangnon (Sittipong Kamchan), Tanaphon Sapyen dan Marukin Phanmakon.

Keputusan yang membolehkan Thailand membalas dendam diatas kekalahan dalam acara regu dan double tempoh hari.