Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa kelebihan  menjelang aksi kedua selepas menewaskan Kedah 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024/25 yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Kedah terlebih dahulu mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan, namun percubaan Sony Norde hasil gerakan solonya diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi pada minit kelapan.

Baca Juga:

Tiga minit kemudian, giliran Juan Muniz pula mengancam kubu Kedah dimana sepakan percuma yang diambilnya sekadar singgah di palang gol.

Aksi terus menarik dengan sepakan percuma Sony pada minit ke-16 pula diselamatkan Ahmad Syihan untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Kem JDT melonjak kegembiraan ketika aksi memasuki minit ke-24 apabila hantaran lolos cantik Heberty Fernandes disudahkan dengan tenang Oscar Arribas bagi meletakkan pasukan dihadapan.

Skuad kendalian Hector Bidoglio hampir menambah jaringan pada minit ke-32 tetapi gol Bergson da Silva dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Percubaan Arif Aiman Hanapi yang bertindak selaku ketua pasukan pada perlawanan ini pada lewat babak pertama pula sekadar singgah di tiang gol.

Habib Haroon menggamatkan stadium pada minit ke-87 selepas beliau mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti untuk kembali mengikat kedudukan.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi moral anak buah Nafuzi Zain untuk menambah jaringan. Namun, sepakan percuma Sony singgah di palang gol pada masa kecederaan.

Ketika aksi dilihat bakal berkesudahan 1-1, Romel Morales muncul wira buat JDT selepas pemain kebangsaan itu menolak masuk bola hasil tandukan Murilo Henrique untuk menghadiahkan kemenangan buat skuad Harimau Selatan.

JDT dan Kedah akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi kedua yang bakal diadakan 4 Ogos nanti.