Kejutan dilakarkan pada aksi sulung Pusingan 16 Piala FA 2024/25 selepas Malaysian University FT menunjukkan jalan keluar buat PDRM dengan kemenangan 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Kelab Liga A1 Semi-Pro itu mengambil kesempatan di atas percaturan pengendali PDRM, P. Maniam yang hanya menurunkan skuad kedua dan turut merehatkan kesemua pemain importnya.
Baca Juga:
- Liga Super 2024/25: Ifedayo Pastikan Perak Kalah Lagi
- Undian Piala FA 2024/2025: JDT Mungkin Jumpa Selangor Di Final
- Piala FA: Sepak Mula Pukul 6:30 Petang Terima Kecaman Peminat
Reputasi PDRM selaku pasukan Liga Super jelas tidak dihiraukan para pemain Malaysian University yang menyaksikan mereka berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima.
Jaringan pembukaan Malaysian University itu terhasil susulan percubaan dari luar kawasan penalti oleh Syahir Abdul Rahman yang gagal diselamatkan penjaga gol PDRM, Asri Muhammad.
Tidak cukup dengan jaringan pantas tersebut, anak buah Ridzuan Abu Shah menambah gol kedua menerusi pemain penyerang, Hadi Mohammad berselang empat minit kemudian.
Berpunca daripada hantaran lolos di kawasan tengah padang, Hadi meluru pantas menewaskan dua pemain pertahanan PDRM dan dengan tenang melakukan percubaan melewati jangkauan Asri bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Tersentak dengan dua jaringan itu, PDRM memperkemaskan aksi dalam usaha untuk merapatkan jurang gol.
Namun, peluang dicipta tidak membuahkan hasil terutamanya situasi sepakan percuma diambil Shafizi Iqmal Khirudin pada minit ke-66 sekadar singgah di palang gol.
Pemain gantian, Muhammad Zharif Nazhan Refli mematikan terus api perjuangan para pemain PDRM dengan jaringan ketiga dihasilkannya pada lewat permainan sekali gus memastikan kemaraan penuh bergaya buat Malaysian University ke suku akhir.