Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak gusar dengan persediaan pasukan meskipun bakal ke Terengganu tanpa empat pemain utama untuk aksi suku akhir pertama Piala FA 2024/25 pada Jumaat.
Darren Lok, Miguel Cifuentes, Gabriel Peres dan Gary Steven Robbat terpaksa diketepikan untuk perlawanan menentang Terengganu FC susulan kecederaan yang dialami mereka.
Baca Juga:
- ‘Angin Bertiup Kencang’, Sabah Turut Hadapi Masalah Tunggakan Gaji
- Elemen Budaya Jadi Pilihan Tema Jersi ‘Home’ Sabah
- Sabah Dan Kedah Wakil Malaysia Di Kejohanan Kelab-Kelab Asean 2024
Namun, Kim Swee tetap bersedia dengan pelan B bagi membentuk skuad terbaik untuk menghadapi anak buah Tomislav Steinbruckner yang ketika ini dilihat semakin konsisten.
Apa yang pasti, beliau menuntut kerja keras seluruh pasukan memandangkan beraksi di tempat lawan seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bukanlah mudah melihat kepada rekod bersih Terengganu yang masih belum tewas di laman sendiri.
“Empat pemain tersebut masih lagi belum pulih selepas berdepan kecederaan dan berkemungkinan besar memang tidak akan bersama pasukan ke Terengganu.
“Apa pun kami tetap bersedia dan semua tahu Terengganu mempunyai rekod yang baik di tempat sendiri apatah lagi mereka juga ada ramai pemain berkualiti seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
“Jadi kita sendiri harus berada dalam tahap terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan gol dan perlu meraih keputusan positif Jumaat ini”, jelasnya.
Kim Swee bagaimanapun menganggap perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA ini pastinya menghadirkan pelbagai kejutan.
Apa jua keputusan yang bakal diperoleh untuk aksi pertama ini akan dijadikan penanda aras untuk mereka lebih bersedia pada perlawanan kedua nanti.
“Apabila ada dua pusingan iaitu timbal balik, apa jua keputusan pun hanya akan kita ketahui pada perlawanan kedua itu nanti.
“Kita tidak boleh nak tahu siapa yang akan layan ke separuh akhir daripada perlawanan pertama sahaja dan untuk itu, bagi saya sangat penting untuk kita tidak sia-siakan peluang apabila bermain di laman sendiri nanti”, tambahnya.
Selain aksi antara Terengganu dan Sabah, satu lagi perlawanan berlangsung pada Jumaat adalah aksi Penang FC menentang Kedah Darul Aman FC.