Terengganu meraih kemenangan 3-2 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024/25 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.

Lima jaringan yang terhasil sudah cukup untuk memperkatakan tentang perlawanan yang berlangsung di hadapan puluhan ribu penyokong.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua pasukan Terengganu, Safawi Rasid menggamatkan stadium pada minit ke-30 selepas sepakan percuma diambil terus menerjah gawang yang hanya mampu dipandang Sam Sommerville.

Tidak cukup dengan itu, Nurillo Tukhtasinov pula menjadikan kedudukan 2-0 hasil percubaan leret dari luar kawasan penalti yang sekali lagi mengecewakan penjaga gol berusia 29 tahun itu pada minit ke-35.

Empat minit kemudian, Alvin Fortes merapatkan jurang gol selepas beliau menolak masuk bola hasil hantaran lintang Mukhairi Ajmal Mahadi.

Selangor terus menggandakan jaringan ketika aksi babak kedua hanya bersambung tiga minit menerusi percubaan dari luar kawasan penalti oleh Noor Al-Rawabdeh.

Memasuki minit ke-70, Ismaheel Akinade menjaringkan gol kemenangan buat tuan rumah selepas beliau menanduk masuk bola hasil hantaran cantik daripada Nurillo untuk memberikan kelebihan satu gol buat Terengganu.

Skuad kendalian Tomislav Steinbrückner dan Nafuzi Zain itu akan bertempur pada aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya yang dijadualkan berlangsung 3 Ogos nanti.

Terengganu merupakan juara dua kali kejohanan tersebut dimana berjaya menjulangnya pada edisi 2000 dan 2011 manakala Selangor pula juara terbanyak dengan lima kejuaraan (1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009).