Dua pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor menepati ramalan apabila bakal bertemu sesama sendiri di pentas final Piala Futsal Malaysia 2024.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung malam tadi, JDT tidak berdepan terlalu banyak masalah menundukkan KL City 5-2 untuk mara dengan agregat 9-2.
Baca Juga:
- MPFL 2024: JDT, Pahang Rangers Tewas Sama-Sama
- Penantian Terlerai, Ridzwan Bakri Dan Mahadir Harahap Tambah Kekuatan Skuad Futsal JDT
- Addin Naufal: Kesakitan Berganda Terbalas Dengan Emas, Bantu Selangor Juarai Futsal SUKMA 2024
Skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu berjaya mencipta jaringan pantas seawal minit pertama menerusi Mohd Firdaus Ambiah tetapi tidak sampai seminit kemudian, KL City menyamakan kedudukan hasil gol daripada Muhammad Dodie Al Fareq Mohd Zailani.
Beraksi di laman sendiri, JDT yang merupakan juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 menambah dua lagi jaringan hasil sumbangan Mohamad Awalluddin Mat Nawi dan Firdaus untuk menjadikan kedudukan 3-1 ketika tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Muhammad Saad Abdul Sani mengukuhkan lagi kedudukan dengan gol pada minit ke-23 dan pemain import dari Afghanistan, Hussain Khademi merapatkan defisit jaringan berselang tujugh minit kemudian.
TidakĀ cukup dengan itu, Awalluddin menambah jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini untuk memastikan JDT menang dengan keputusan 5-2.
Sementara itu di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam menyaksikan aksi penuh mendebarkan melibatkan Selangor danĀ juara bertahan, Pahang Rangers.
Ketinggalan dua gol selepas tewas 3-5 pada aksi pertama di Kuantan, Pahang Rangers mendapatkan jaringan pembukaan pada minit keempat menerusi Iqhmal Najmie Ismail.
Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan Selangor hanya selepas seminit kemudian menerusi jaringan ketua pasukan, Syed Aizad Daniel Syed Nasir.
Iqhmal sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-10 tetapi Syed Aizad jelas tidak mahu membuatkan lawan mereka selesa untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Selangor kemudiannya menambah dua lagi jaringan pada minit ke-18 dan 23 menerusi duo import dari Brazil, Wellington Pereira Rodrigues Adao dan Gabriel Rosa da Silva.
Jaringan pada lewat aksi oleh Ahmad Harith Naim dan Felipe da Souza jelas masih tidak mampu untuk Pahang Rangers menghalang kemaraan Selangor ke pentas final.
Dengan keputusan pada dua perlawanan ini, Selangor akan berdepan JDT di pentas final Piala Futsal Malaysia 2024 manakala Pahang Rangers dan KL City pula bakal beraksi pada penentuan tempat ke-3/4.
Kedua-dua perlawanan dalam saingan bakal berlangsung di Axiata Arena pada 6 Oktober nanti.