Nama Ubaidullah Shamsul Fazili menjadi bualan peminat bola sepak tanah air ketika ini setelah menampilkan prestasi cemerlang bersama Terengganu dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2023.

Lebih manis lagi, pemain yang mesra dengan panggilan Ubai itu membantu Terengganu FC II memenangi edisi sulung Piala MFL musim ini dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada perlawanan akhir selain dipilih sebagai pemain terbaik pada aksi yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Baca Juga:

Lain dari kebiasaan, ketua jurulatih TFC II iaitu Hairuddin Omar meletakkan Ubai di posisi pemain tengah bertahan dan pemain berusia 19 tahun itu menampilkan satu persembahan cemerlang.

Pada sidang media selepas perlawanan, Hairuddin memberikan sebab utama mengapa beliau lebih gemar meletakkan Ubai di posisi tengah berbanding pertahanan ketika bersama skuad utama.

“Saya melihat Ubai sebagai pemain yang sesuai dalam modern football. Beliau bukan sahaja bagus di posisi pertahanan. Saya melihat ada bakal lain dalam diri beliau dimana bola sepak moden sekarang memerlukan pemain tengah bertahan yang mempunyai mentaliti bertahan dan juga menyerang.

“Ubaidullah ada kedua-dua kriteria itu. Semasa perlawanan, dalam 20 minit pertama Ubai sedikit hilang kerana pada separuh masa pertama mungkin pemain dari kedua-dua pasukan berhati-hati. Saya beritahu kepadanya untuk membuat gerakan serangan pada separuh masa kedua. Ada beberapa gerakan yang saya rasa sangat bagus untuk usia beliau.

“Saya rasa kariernya akan terus berkembang selepas ini dan mari kita lihat sama ada beliau boleh menjaga diri kerana sudah menjadi satu aset kepada negara,” katanya.

Pada perlawanan semalam, Isa Raman menjadi wira TFC II apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 dimana beliau memanfaatkan kesilapan Aysar Hadi yang gagal untuk mengawal kemas bola hantaran dari penjaga gol beliau.

Sebagai pemenang, TFC II membawa pulang hadiah iaitu trofi dan juga wang tunai sebanyak RM500,000 manakala sebagai naib juara, JDT II membawa pulang hadiah sebanyak RM250,000.