Pihak berkuasa Australia baru-baru ini merampas sebuah kontena yang berasal dari Malaysia dan sedang menuju ke Brisbane, Australia. Di dalam kontena tersebut mengandungi 336kg heroin yang sehingga bernilai A$268.8 juta (RM789.56 juta), rampasan kedua terbesar pernah direkodkan oleh Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Menurut kenyataan Polis Persekutuan Australia (AFP) yang dikeluarkan minggu lalu, penghantaran kontena tersebut diisytiharkan sebagai aksesori panel solar. Bagaimanapun, apabila satu pemeriksaan secara terperinci dilakukan, pegawai ABF berjaya mengesan ratusan paket dadah di dalam setiap blok simen.
Baca Juga:
- Pecah Rekod Rampasan Terbesar, Rakyat Malaysia Ditahan Bawa Dadah Bernilai RM431 Juta Di Australia
- Seludup Dadah Untuk Biaya Perubatan Anak, Hakim Australia Ringankan Hukuman Penjara Bekas Pramugari Malaysia Ini
- Kantoi Guna Dadah, 11 Anggota Polis Perak Gagal Ujian Air Kencing
Selepas mengenal pasti bahawa kontena tersebut adalah dadah, pihak berkuasa tempatan kemudiannya membenarkan kontena belayar meneruskan perjalanan ke alamat penerima, di Brendale, utara Brisbane, pada 28 Mac.
Pada 29 Mac, pasukan risikan memberitahu bahawa kontena tersebut diterima oleh seorang lelaki tempatan dengan menggunakan sebuah lori disewa. Ia kemudiannya bergerak ke Sydney di mana ia dihantar ke sebuah bangsal perindustrian di Mount Druitt pada 30 Mac.
Lelaki berusia 55 tahun itu kemudiannya kembali ke bangsal (keesokan harinya) dengan peralatan untuk memotong konkrit bagi mendapatkan heroin yang tertanam di dalam simen tersebut. Selepas itu, polis menahan lelaki itu ketika dia mahu meninggalkan gudang tersebut di waktu pagi.
Pihak berkuasa tempatan kemudiannya menjalankan beberapa siri geledah di kedua-dua premis perniagaan dan kediaman di New South Wales dan Queensland. Lokasi termasuk Brendale di Queensland, serta Mount Druitt, Blacktown, Auburn, Cecil Park dan Constitution Hill di NSW.
Semasa penggeledahan dilakukan, polis berjaya merampas barang kemas dan alat elektronik yang dianggarkan bernilai A$700,000 di sebuah rumah di Auburn. Di lokasi lain, barang yang dirampas termasuk wang tunai, telefon bimbit, cakera keras, buku nota dan komponen lain penghantaran yang dibina semula.
Rampasan 336kg ini merupakan pengesanan heroin kedua terbesar di Australia dalam sejarah penguatkuasaan undang-undang mereka. Pada tahun 2021, usaha bersama polis dan ABF mengakibatkan rampasan 450kg heroin di Melbourne.
Menurut Komander Polis John Tanti, rampasan besar yang dilakukan oleh pihak berkuasa ini mampu untuk menyelamatkan ribuan nyawa dan memberi satu kesan besar kepada kewangan kumpulan jenayah terancang, yang selama ini hidup mewah dengan duit jualan dadah sementara rakyat yang lain berjuang dengan kos sara hidup.
“Jumlah heroin ini akan menyebabkan kerosakan yang tidak terkira dalam masyarakat dan meningkatkan beban sistem kesihatan dan perkhidmatan sosial kita, semuanya atas nama ketamakan untuk jenayah terancang transnasional,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, 10 April, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Malaysia berkata bahawa mereka kini sedang menyiasat perkara itu dengan AFP.