Laporan berita Times Of Israel mendedahkan bahawa agensi risikan Mossad telah menjalankan satu operasi menculik seorang rakyat Palestin yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pejuangan kebebasan Hamas dan sayap bersenjatanya, Izz ad-Din al- Briged Qassam.
Operasi yang berlaku di Kuala Lumpur itu dikatakan tidak menjadi selepas pihak berkuasa Malaysia bertindak pantas menyelamatkan rakyat Palestin tersebut dan menahan mereka yang terlibat.
Baca Juga:
- Hamas Dakwa Mossad Dalang Pembunuhan Imam Fadi Al-Batsh
- Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Unit 8200, Agensi Risikan Siber Israel
Menurut laporan yang tidak disahkan oleh Al Jazeera dan The Star, operasi yang dijalankan oleh agensi risikan Israel itu melibatkan ejen yang dilatih di Eropah. Mossad dilaporkan telah bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab menculik seorang lelaki Palestin dari Semenanjung Gaza di ibu negara Malaysia pada 28 September. Dia diculik dan dibawa lari oleh sebuah kenderaan bersama-sama dengan seorang lagi rakyat Palestin. Difahamkan bahawa kedua-dua mereka yang diculik adalah pakar pengaturcaraan komputer.
Menurut laporan media, lelaki kedua yang turut diculik Mossad telah cuba membantu rakannya dengan memberi amaran kepada rakannya mengenai apa yang bakal terjadi. Disebabkan amaran tersebut, dia sempat memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian itu.
The New Straits Times melaporkan warga Palestin yang diculik itu dibawa ke sebuah kabin kira-kira sejam dari Kuala Lumpur dan diikat di kerusi untuk disoal siasat oleh ejen perisikan yang dipercayai warga Israel melalui video atas talian.
Sumber “yang mengetahui kes itu” memberitahu media bahawa “rakyat Israel ingin tahu tentang pengalamannya dalam pembangunan aplikasi komputer, kekuatan Hamas dalam membangunkan perisian, informasi mengenai anggota Briged Al-Qassam dan kekuatan mereka. ”
Soal siasat dijalankan selama kira-kira sehari sebelum pihak berkuasa Malaysia menyerbu kabin tersebut dan menahan mereka yang didakwa bertanggungjawab menculik mangsa. Difahamkan bahawa ketika polis menjumpai lelaki Palestin tersebut, kelihatan pelbagai jenis kecederaan dialami oleh beliau.
Difahamkan bahawa ini bukanlah kali pertama kejadian ini terjadi. Pada 2018, jurutera elektrik kelahiran Gaza, Fadi Mohammed al-Batsh telah ditembak mati oleh dua penunggang motosikal ketika dia berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh di Kuala Lumpur pada 2018. Kejadian itu dipercayai dijalankan oleh agensi perisikan Israel.
Selepas al-Batsh dibunuh, pihak keluarga mendakwa bahawa ini adalah jenayah terancang dan menyalahkan Mossad atas kematiannya. Hamas secara rasmi mendakwa al-Batsh sebagai salah seorang ahli pejuang kebebasan Palestin. Sayap bersenjata Hamas menggambarkan al-Batsh sebagai anggota sayap tentera kumpulan pengganas dan “seorang komander.”
Bagaimanapun, ahli politik Israel Avigdor Liberman, yang ketika itu berkhidmat sebagai menteri pertahanan, menafikan penglibatan Israel dalam pembunuhan itu. Tetapi Liberman berkata bahawa al-Batsh ‘layak’ untuk mati kerana terlibat dalam mereka bentuk sistem peluru berpandu Hamas.
“Lelaki ini bukan orang suci. Ia bukan tentang menambah baik grid elektrik atau menambah baik infrastruktur dan air… Dia terlibat dalam pengeluaran roket, dalam meningkatkan ketepatan roket,” kata Liberman kepada Radio Tentera pada masa itu.