Orang ramai kini tidak perlu bimbang lagi dengan kemunculan ‘hantu’ yang menyergah sekitar kawasan Jalan Austin Heights Utama, Johor Bahru  kerana kini telah ditahan polis.

Seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental telah menyamar sebagai ‘hantu’ bertujuan menakut-nakutkan pengguna jalan raya dan kemudian menendang mana-mana kenderaan.

Baca Juga:

Gelandangan berusia 31 tahun itu telah diburu polis sejak tularnya video pada 27 Julai lalu, ditahan pada jam 10.51 malam tadi di lokasi berkenaan.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menurut laporan Harian Metro.

Sebaik ‘dilanggar’, wanita itu akan memeras ugut pemandu kenderaan bagi meminta wang sebagai ganti rugi kerana melanggarnya.

“Pada jam 12.30 tengah hari, 27 Julai lalu, polis menerima satu video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang individu yang menyerupai seperti hantu yang menyergah kenderaan awam di tepi jalan.

“Kita kemudian membuat rondaan bagi tujuan mengesan dan menahannya, bagaimanapun beberapa kali gagal kerana individu terbabit melarikan diri.

“Anggota polis yang bertugas memaklumkan ketika kejadian, wanita itu akan mengilai namun akhirnya semalam kita berjaya menahan wanita berkenaan yang dipercayai mempunyai masalah mental,” katanya.

Menurut pihak polis, suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan sudah didenda RM1,000 pada 27 Jun 2018.

Ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Peruntukan 23 Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.